Presiden IPF Sambanthan meninggal dunia [ 25s ago ]

Sediakanlah Peluang Untuk Membina Keamanan Lestari - Zambry

Tarikh kemaskini: 06/09/2016
IPOH, 6 Sept (Bernama) -- Menyediakan peluang untuk rakyat adalah satu-satunya cara untuk membina keamanan lestari, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, menyedari hakikat itu, Perak sekali lagi menganjurkan Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Dialog Pangkor) 2016, yang bermula semalam, untuk menjana idea daripada para pakar dari seluruh dunia.

"Kita merentasi dunia sejak dua hari lepas. Apabila saya pertama kali mengetengahkan Dialog Pangkor empat tahun lepas, terdapat keraguan dan kewahaman, sesuatu yang tidak pernah didengar dan dilakukan sebelumnya.

"Tetapi, dengan berbekalkan semangat juang sejati yang dimiliki anak Perak, kami bulatkan tekad dan mencabar diri sendiri supaya mencipta sesuatu yang tidak pernah terfikir dan terbayang oleh kita," katanya ketika merasmikan penutupan acara itu di sini hari ini.

Menurut Zambry, mereka mengetengahkan idea bijaksana, sesuatu yang beliau harap para anggota perwakilan akan dapat membawa pulang serta mengamalkannya di negara masing-masing.

"Prof Muhammad Yunus (pemenang Hadiah Nobel Keamanan dari Bangladesh) percaya bahawa di peringkat mikro, perniagaan sosial akan memberi kesan terhadap perubahan, walaupun seseorang itu mengharapkan agar dua individu menjadi produktif dari segi ekonomi pada suatu masa serentak.

"Seterusnya, Yunus meramalkan manusia pada tahun 2030 hingga 2040 akan menjadi bingung dengan istilah 'pengangguran'. Dalam usahanya untuk mengatasi sikap terlalu bergantung pada pekerjaan, beliau percaya perniagaan merupakan pekerjaan yang sungguh hebat.

"Pekerjaan bergaji bukanlah sesuatu yang akan memperkasakan martabat seseorang. Itu merupakan suatu pendapat menarik dan disokong Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau," katanya.

Zambry menyuarakan harapannya agar semua perbincangan, pendapat dan hasrat dapat dilaksanakan sebagai suatu realiti yang berdaya tahan serta lestari.

-- BERNAMA

       Berita Utama Terdahulu