Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 1h ago ]

Mara Patani Sedia Bekerjasama Bagi Keamanan

Tarikh kemaskini: 02/09/2016
Oleh Mohd Haikal Mohd Isa


BANGKOK, 2 Sept (Bernama) -- Majlis Syura Patani (MARA Patani) telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mengembalikan keamanan di wilayah-wilayah di selatan Thai, menurut Jen Aksara Kerdphol.


Ketua panel kerajaan ke rundingan damai berkata, kumpulan itu juga mengesahkan mereka tidak terlibat atau mencetuskan insiden keganasan di wilayah-wilayah itu baru-baru ini.


"Kumpulan itu juga menyatakan sedia berganding bahu untuk mengembalikan keamanan di wilayah-wilayah di selatan," kata beliau pada sidang media di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Airport di sini hari ini selepas menghadiri rundingan damai pusingan terbaharu di Malaysia.


Kerajaan Thailand dan MARA Patani yang dirujuk sebagai "Pihak B" semasa mesyuarat, mengadakan rundingan damai pusingan terbaharu di Kuala Lumpur hari ini, hasil usaha kerajaan Malaysia yang bertindak sebagai perantara.


Semasa mesyuarat terakhir pada April, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai Terma Rujukan (TOR) dan menyebabkan rundingan damai menghadapi ketidakpastian.


Beberapa minggu sebelum rundingan damai pusingan terbaharu, wilayah-wilayah di selatan Thailand digegarkan dengan insiden keganasan dan yang terbaharu letupan bom kereta di sebuah hotel di Pattani pada 23 Ogos, menyebabkan dua maut dan lebih 30 lagi cedera.


Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.


Menurut Aksara, beliau juga telah menyuarakan kebimbangan Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha mengenai keganasan di selatan Thailand kepada delegasi MARA Patani semasa rundingan damai.


Beliau berkata, perdana menteri mahu supaya keganasan di kawasan-kawasan di pedalaman selatan berakhir.


Beliau juga berkata mesyuarat hari ini tidak menyaksikan pemeteraian perjanjian mengenai TOR tetapi kedua-dua pihak memberi komitmen untuk meneruskan rundingan walaupun tarikh bagi rundingan damai pusingan seterusnya belum diputuskan.


Aksara juga menarik perhatian bahawa rundingan damai sekarang bukan sahaja untuk membina keyakinan antara kedua-dua pihak tetapi juga untuk menanamkan keyakinan di kalangan rakyat yang tinggal di selatan Thailand.


Menurut beliau, kedua-dua pihak akan berbincang mengenai cadangan yang dikemukakan oleh Agenda Wanita bagi Keamanan untuk dikaji selanjutnya dan membuat keputusan sama ada ia menjadi perkara perbincangan dalam rundingan seterusnya.


-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu