AM

GENERASI KETIGA FELDA CEMERLANG SPM, BUKTI BOLEH BERJAYA

20/06/2022 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Rajin mengikuti kelas tambahan untuk memahami dengan lebih mendalam setiap mata pelajaran menjadi resipi menggenggam kejayaan buat Yasmine Sofea Hairulnizam, pelajar generasi ketiga Felda yang memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Yasmine Sofea, 18, cucu peneroka Felda Air Tawar 1 di Kota Tinggi, Johor, berkata terpilih ke Asrama Semai Bakti Felda Kuala Lumpur sejak lima tahun lepas merupakan faktor yang membuka peluang untuknya lebih cemerlang dalam pelajaran.

“Setiap minggu, pihak asrama ada sediakan kelas tambahan dan saya gunakan peluang itu untuk lebih memahami mata pelajaran serta belajar secara berkumpulan dengan rakan lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berbekalkan semangat untuk meneruskan legasi kejayaan ibu bapanya telah mendorong pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki itu belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh keputusan cemerlang.

Emerra Balqis Mohd Ruslan, cucu peneroka Felda Raja Alias 1 di Jempol, Negeri Sembilan, yang memperoleh keputusan 8A, turut membuktikan usaha dan tekad mampu membuahkan kecemerlangan.

“Tiada apa-apa yang boleh halang kejayaan kita jika tekad itu sudah ada. Saya sudah buktikan cucu peneroka yang bersekolah di sekolah Felda juga mampu berjaya dan saya harap saya meneruskan lagi kejayaan ini, insya-Allah,” kata anak sulung daripada tiga adik-beradik itu yang tinggal bersama datuk dan neneknya.

Pelajar SMK Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan itu turut menzahirkan penghargaan kepada guru yang sentiasa membantunya sehingga menempa kejayaan membanggakan.

Rakan baik Emerra, Nur Assyura Sulaiman, dari sekolah sama dan turut memperoleh keputusan cemerlang 8A, pula meluahkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris (TESL) agar dapat menyumbang semula kepada negara sebagai seorang guru.

Assyura, yang juga cucu peneroka di Felda Raja Alias 2, bersyukur kerana perit jerih melalui sesi pembelajaran ketika pandemik terbalas dengan kejayaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan