EKONOMI

TEPAT MASANYA SYARIKAT MALAYSIA SERTAI CAEXPO 2022 SUSULAN RATIFIKASI RCEP - MATRADE

31/05/2022 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memanfaatkan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 di Guangxi, China, untuk menggalakkan kesedaran mengenai keupayaan eksport Malaysia kepada bandar-bandar pesat membangun di negara itu.

Dalam kenyataan pada Selasa, MATRADE menggesa semua syarikat Malaysia yang berminat menjadi sebahagian daripada Pavilion Malaysia di ekspo yang akan diadakan dari 16 hingga 19 Sept, 2022 itu supaya mendaftar sebelum 17 Jun ini.

Syarikat yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar di http://www.matrade.gov.my/en/international-trade-event-list atau menghubungi Hon Jia Xin di talian 03-62077234 (jia@matrade.gov.my).

“Selain Malaysia berbesar hati sekali lagi dipilih sebagai Negara Kehormat tahun ini (sebelum ini pada 2011), kebolehlihatan syarikat Malaysia semasa acara itu tahun ini adalah tepat pada masanya dengan ratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru-baru ini, kerjasama penting antara Malaysia dan China serta negara penandatangan lain,” jelasnya.

Pengarah Kanan MATRADE, Amran Yem berkata CAEXPO merupakan pameran perdagangan terkemuka dalam kalangan pengeksport Malaysia sejak 2004 dan telah membawa kepada pengembangan perniagaan yang cemerlang syarikat Malaysia ke China.

“Ia adalah platform penting untuk perusahaan kecil dan sederhana Malaysia mempromosikan jenama produk mereka, khususnya di China. Ini telah terbukti kerana CAEXPO menerima sambutan menggalakkan daripada pengeksport Malaysia setiap tahun,” katanya semasa webinar mengenai usaha memanfaatkan CAEXPO untuk pengembangan ke pasaran China.

Webinar ini turut menampilkan Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Guangzhou, Mohamad Haris Abdul Latiff, yang berkongsi perkembangan terkini mengenai ekonomi dan aktiviti perniagaan China serta menekankan pentingnya pengetahuan media sosial untuk berjaya dalam pasaran.

Tahun ini merupakan penyertaan Malaysia ke-19 berturut-turut dalam CAEXPO dan MATRADE merancang penyertaan sejumlah besar peserta pameran untuk memastikan firma Malaysia tidak kehilangan keistimewaan tahun ini yang jarang berlaku iaitu sebagai peserta Negara Kehormat.

MATRADE menambah, ia sedang merancang beberapa aktiviti, termasuk seminar, sesi suai padan perniagaan, penstriman langsung dengan pemimpin utama dalam bidang yang khusus selain persembahan seni dan budaya.

Ia juga akan terus bekerjasama dengan China Construction Bank dan persatuan serta majlis perniagaan terkemuka untuk menganjurkan Sesi Mesyuarat Perniagaan B2B China-Malaysia kali keempat sempena CAEXPO ke-19.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan