EKONOMI

AT SYSTEMATIZATION METERAI MOU DENGAN VSOLAR LAKSANA PROJEK BUMBUNG PV SOLAR

23/10/2020 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- AT Glove Engineering Sdn Bhd (AGESB) unit milik penuh AT Systematization Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Vsolar Group Bhd untuk melaksanakan projek bumbung fotovoltaik solar (PV) di kilang pembuatan sarung tangannya di Taman Perindustrian Seramik Chemor di Perak.

AT Systematization dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata MoU itu sah dari 23 Okt hingga 30 Jun, 2021, melainkan digantikan oleh perjanjian pembelian kuasa korporat (CPPA) yang akan dimeterai oleh pihak-pihak terbabit. 

"AGESB akan melantik Vsolar sebagai perunding kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) untuk membina, mengurus dan menyenggara pemasangan sistem bumbung PV solar di tapak kilang pembuatan sarung tangan AGESB bagi rancangan pemajakan menerusi CPPA formal yang akan dimeterai oleh kedua-dua pihak kemudian nanti,” kata syarikat itu. 

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju menyertai CPPA bagi pemajakan kira-kira 1 megawatt (MW) sistem bumbung PV solar dengan tempoh hanya 15 tahun. 

"Selain itu, harga tarif sebenar yang akan dibayar daripada pihak pertama (AGESB) kepada pihak kedua (Vsolar) akan dipersetujui bersama dan dicerminkan dalam CPPA sebaik sahaja ia dilaksanakan,” kata syarikat itu.

AT Systematization berkata kedua-dua pihak juga bersetuju jumlah kos pendahuluan bagi projek itu ditanggung oleh pihak kedua yang mana kos itu akan diambil semula dalam tempoh pemajakan menerusi inisiatif pemeteran tenaga bersih yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari  (SEDA) pada Januari 2019 berdasarkan kepada harga tarif yang akan dipersetujui dan diketengahkan dalam CPPA.

Pihak pertama akan layak mendapat Elaun Cukai Pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Akta Insentif Teknologi Hijau, Cukai Pendapatan 1967. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan