AM

EAIC SIASAT KES SUSPEK UTAMA KES MACAU SCAM LARI

16/10/2020 05:58 PM

PUTRAJAYA, 16 Okt -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kini menjalankan siasatan berhubung kejadian suspek utama kes Macau Scam melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lepas.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata EAIC memandang serius kes suspek melarikan diri dan punca yang menyebabkan perkara itu boleh berlaku.

"EAIC telah membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan awal di bawah Seksyen 28 Akta EAIC 2009  (Akta 700)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed hari ini dilaporkan berkata polis sedang memburu suspek kes judi dalam talian dan Macau Scam yang melarikan diri sejurus dibebaskan SPRM. 

Lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong berusia 32 tahun itu beralamat terakhir di Miharja Condo, Bt. 2 1/2, Off Jln Cheras, Kuala Lumpur.

Dilaporkan, seorang suspek sindiket 'cuci duit' atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan melibatkan selebriti tanah air, melarikan diri daripada ditahan pihak polis dengan memanjat pagar Ibu Pejabat SPRM di sini menerusi bantuan dua pengawal peribadinya sebaik dilepaskan SPRM pada Ahad.

Mohd Sidek berkata EAIC akan memaklumkan tindakan selanjutnya yang diambil, seperti yang termaktub di bawah Akta 700.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan