PJ City FC sasar satu gelaran dan tempat kelima terbaik Liga Super 2020 [ 13m ago ]

LTTE: Mahkamah tolak permohonan jaminan penjaga stor dan pengawal keselamatan

Tarikh kemaskini: 16/12/2019
S.Thanagaraj
BUTTERWORTH, 16 Dis -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan jaminan oleh penjaga stor, S. Thanagaraj, dan pengawal keselamatan, M. Pumugan, yang masing-masing berdepan dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada Oktober lepas.

Hakim Noor Aini Yusof dan Hakim Norhayati Mohamad Yunus masing-masing membuat keputusan itu di dua mahkamah berasingan selepas mendengar hujahan daripada peguam E. Gnasegaran yang mewakili Thanagaraj dan peguam Dr N. Ahilan mewakili Pumugan serta Timbalan Pendakwa Raya J.G Kameni dan Lim Saw Sim.

Noor Aini dan Norhayati, dalam penghakiman mereka, berkata permohonan bagi urusan jaminan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan permohonan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah tersebut.

Sehubungan itu, kedua-dua mahkamah itu memerintahkan kes yang dihadapi oleh Thanagaraj, 26, dan Pumugan, 29, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, Gnasegaran dalam hujahannya berkata anak guamnya wajar diberi jaminan berikutan pertuduhan yang dihadapi mereka bukan satu kesalahan serius dan berat serta bukan kes yang memperuntukkan hukuman yang tinggi seperti mana kes berat lain.

“Tertuduh dalam kes ini hanya dituduh mengedarkan item berkaitan LTTE. Tiada bukti atau keterangan yang jelas menunjukkan bahawa perbuatan dilakukan tertuduh boleh membawa kepada kecederaan serius ke atas badan serta punca kepada kematian seseorang.

“Justeru, saya memohon supaya mahkamah dapat memberikan pertimbangan serta budi bicara untuk mendengar permohonan lisan bagi meneruskan ikat jamin terhadap tertuduh,” katanya.

Beliau juga berkata Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan jaminan tersebut berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, pihak pendakwaan pula membantah permohonan jaminan itu atas alasan kes berkenaan masih di peringkat awal dan permohonan itu harus dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 29 Okt lepas, Thanagaraj didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam telefon bimbit di Sky Thommas Food Industries Sdn Bhd No 1066, Jalan Perindustrian Bukit Minyak 2, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, dekat sini pada pukul 10 pagi, 12 Okt lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama di No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman Sejahtera dekat sini pada pukul 11 pagi, tarikh yang sama.

Pumugan pula didakwa atas pertuduhan memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di pekarangan parkir hadapan pejabat N.S.E Lorry Transport Sdn Bhd, Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi dekat sini pada pukul 3.16 petang, 12 Okt lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Juru, dekat sini pada pukul 4.15 petang, tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu