Koronavirus: JaPen edar 20,000 risalah di seluruh Sabah [ 24m ago ]

PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan

Tarikh kemaskini: 16/12/2019
PUTRAJAYA, 16 Dis -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah pada 18 Jan.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun pada sidang media hari ini berhubung pengurusan pilihan raya kecil itu di sini hari ini berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan manakala pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Jan.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis itu dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi. Anifah mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018.

PRU14 menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Anifah bersama calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail memperoleh 1,300 undi.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.

Azhar Azizan berkata daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRK Kimanis itu adalah sehingga suku tahun ketiga 2019 yang dikemaskini sehingga 9 Dis, 2019.

Daftar pemilih itu mengandungi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara, katanya.

Azhar Azizan berkata Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata Pegawai Daerah Beaufort Jupari@Jupry Etok dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Kimanis dan dibantu oleh lima penolong pengawai pengurus.

Seramai 653 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Kimanis dengan 20 buah pusat mengundi mengandungi 69 saluran.

"PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta,” katanya.

Azhar Azizan berkata tempoh berkempen bagi PRK Kimanis ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga 11.59 malam 17 Jan.

SPR, katanya menubuhkan empat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Pasukan PP-KPR itu akan dianggotai oleh wakil-wakil dari Polis DiRaja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan para wakil calon yang bertanding, katanya.

PRK Parlimen Kimanis ialah PRK ke-10 diadakan sejak Pakatan Harapan memenangi PRU 14 pada 9 Mei, 2018.

PRK terakhir diadakan sebelum ini ialah PRK Tanjung Piai pada bulan lepas.

— BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu