True Bangkok United juara edisi sulung SAC 2020 [ 6h ago ]

Kelulusan RUU pengangkutan barang melalui laut mudahkan lagi perdagangan

Tarikh kemaskini: 11/12/2019
(Gambar fail)
KUALA LUMPUR, 10 Dis -- Rang Undang-undang Pengangkutan Barang Melalui Laut (Pindaan) 2019 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan usaha kerajaan mengatasi jurang dalam undang-undang sedia ada bagi memudahkan lagi perdagangan.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia meminda Akta 527 (Akta Pengangkutan Barang Melalui Laut 1950) dan inisiatif ini jelas membayangkan komitmen tinggi Malaysia untuk menyesuaikan Amalan Peraturan Baik (GRP).

“Pada masa yang sama, ia boleh melonjakkan industri maritim sejagat dan keyakinan komuniti perkapalan untuk Malaysia muncul sebagai sebuah hab pengangkutan maritim serantau.

Kelebihan pindaan itu ialah mempertingkatkan standard yang dipakai dalam transaksi pengangkutan laut di masa hadapan berkenaan had liabiliti, jenis liabiliti dan pengiktirafan dokumen berkaitan pengangkutan barang melalui laut,” kata kenyataan itu.

Dengan mengambil kira Akta 527 adalah undang-undang pra merdeka yang tidak pernah dipinda sejak 1950 dan mematuhi sepenuhnya “The Hague Rules”, kerajaan menyedari keperluan Akta 527 untuk dipinda untuk mengemas kini perundangan utama yang mengawal perkara-perkara berkaitan pengangkutan barang melalui laut.

Pindaan itu juga memberikan penyelesaian untuk pengiktirafan dokumentasi pengangkutan laut elektronik sejajar dengan keperluan perdagangan moden, katanya.

Menurut kenyataan itu Akta 527 dipinda pada Seksyen 4 dan 6 untuk meluaskan skop dokumen berkaitan transaksi perkapalan dengan memasukkan “dokumen pengangkutan laut” dan ia juga memperkenalkan satu seksyen baharu, Seksyen 6A ke dalam Akta 527 untuk membenarkan Kementerian Pengangkutan meminda Jadual Akta 527 dengan arahan diterbitkan di dalam Warta Kerajaan.

“Kelenturan itu memberikan satu laluan untuk undang-undang domestik Malaysia dipertingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan industri maritim sejagat yang dinamik dan arahan dibuat di bawah Seksyen 6A dan rang undang-undang itu akan beroperasi serentak,” katanya.

Pada 4 Dis lepas, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu untuk mengemas kini perundangan utama yang mengawal perkara-perkara berkenaan pengangkutan barang melalui laut menerusi penggunaan prinsip dan standard disediakan “Hague Visby Rules” dan Protokol SDR, seakan-akan prinsip dan standard yang diamalkan oleh kebanyakan rakan dagang Malaysia

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu