True Bangkok United juara edisi sulung SAC 2020 [ 6h ago ]

Projek NFCP dapat kerjasama padu kerajaan negeri - Gobind

Tarikh kemaskini: 09/12/2019
CYBERJAYA, 9 Dis -- Projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) mendapat kerjasama baik dan padu daripada kerajaan negeri bagi membantu dalam mencapai sasaran projek itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menurutnya, jika sebelum ini, masa yang panjang diperlukan untuk mendapatkan kelulusan bagi membina infrastruktur telekomunikasi, namun melalui usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berbincang dengan kerajaan negeri, banyak kekangan dapat diselesaikan.

"Jadi kita dapat kelulusan dalam masa yang lebih cepat dan ini adalah satu perkara yang dialu-alukan dan ia akan banyak membantu untuk mencapai sasaran kita dalam NFCP ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Operasi NFCP di Menara MCMC, di sini hari ini.

Bilik operasi itu dilengkapi dengan metrik dan papan pemuka yang akan memberikan fokus kepada sasaran NFCP, kualiti pengalaman dan perkhidmatan serta pemantauan projek NFCP.

Pendekatan berpandukan data itu akan membolehkan MCMC memantau prestasi dan pelaksanaan NFCP dengan lebih efektif.

NFCP adalah pelan lima tahun (2019–2023) yang antara lain bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat di seluruh negara selain menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G.

NFCP yang diumumkan pada 28 Ogos lepas memberi penekanan seimbang bagi akses internet antara penduduk bandar dan luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang digital.

Gobind berkata syarikat telekomunikasi yang terlibat turut memberikan kerjasama apabila buat pertama kalinya terdapat satu sistem di mana pihak industri dapat duduk bersama dengan pihak kerajaan untuk mengembangkan insfrastruktur telekomunikasi di negara ini.

"...dan setakat mana yang boleh, kita boleh kongsi insfrastruktur sedia ada, dan ini dengan secara langsung dapat menurunkan kos terbabit dan ia akan menjimatkan masa untuk mengembangkan infrastruktur tersebut," katanya.

Katanya NFCP adalah satu pelan yang cukup penting untuk mengembangkan insfrastruktur sedia ada supaya dapat mewujudkan rangkaian internet yang baik di negara ini melibatkan peruntukan kira-kira RM21.6 bilion.

"Saya harap kita dapat menjayakan pelan ini dalam masa yang lebih awal daripada yang ditetapkan (lima tahun) dan kalau boleh dengan menggunakan kos yang lebih kurang daripada yang dinyatakan (RM21.6 bilion)," katanya.

-- BERNAMA




       Berita Utama Terdahulu