Pasar Malam Budaya Kim Fung di Sandakan bakal jadi pasar tanpa tunai [ 7m ago ]

Tertekan punca Welson gagal raih emas

Tarikh kemaskini: 07/12/2019
Welson Sim
Daripada Mazani Mohd Yusoff

NEW CLARK CITY (Filipina), 7 DIs -- Tertekan dengan harapan tinggi menjadi punca perenang elit negara, Welson Sim gagal mengekalkan pingat emas dalam acara kegemaran, 200m gaya bebas lelaki pada temasya Sukan SEA ke-30 di sini, hari ini.

Welson, pemegang rekod Sukan SEA dengan masa 1:47.36s yang dicipta di Kuala Lumpur, dua tahun lalu, merangkul pingat perak dengan 1:48.52s di Pusat Akuatik New Clark City di sini.

Acara itu dimenangi perenang Singapura, Darren Chia dengan catatan masa 1:48.26s manakala gangsa menjadi milik perenang Vietnam, Hoang Quy Phuoc dengan masa 1:48.59s.

”Saya terlalu tekan dan tahu saya mempunyai peluang besar untruk menang tetapi banyak bising (penonton) dan harapan tinggi diletakkan terhadap saya,” kata perenang berusia 22 tahun yang diletakkan sebagai sandaran utama mengekalkan kutipan tiga emas buat kontinjen negara.

“Saya sedar dengan catatan peribadi terbaik dan saya bersungguh-sungguh semasa saingan dan akhirnya kalah,” katanya.

Welson turut gagal mempertahankan emas dalam acara 400m gaya bebas selepas tewas kepada bintang muda Vietnam, Nguyen Huy Hoang, Rabu lalu.

Selain dua pingat perak, beliau hanya mempu meraih gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas pada hari tersebut.

Dalam pada itu, dua lagi perenang negara menampilkan aksi hambar selepas gagal naik ke podium dalam acara masing-masing.

Daniel Lim hanya mampu menduduki tempat kelima dalam acara 200m kuak dada lelaki dengan catatan masa 2:16.62s.

Perenang Thailand, Ketin Nuttapong memenangi emas apabila berjaya memperbaiki rekod Sukan SEA yang dipegangnya dengan catatan masa 2:12.57s diikuti pemenang perak, Pham Thanh Bao dari Vietnam (2:12.84s) dan gangsa oleh perenang Singapura, Maximillian Wei Ang dengan masa 2:13.96s.

Rekod Sukan SEA sebelum ini dipegang Nuttapong dengan masa 2:12.99s yang dicipta pada edisi 2011 di Indonesia.

Seorang lagi perenang wanita negara, Goh Chia Tong, menduduki tangga tercorot dalam kalangan lapan perenang acara final 400m gaya bebas dengan catatan masa 4:31.92s.

Acara itu diungguli perenang Vietnam, Thi Anh Vien dengan masa 4:13.20s, diikuti Gan Ching Hwee dari Singapura (4:14.56s) dan pemenang gangsa, Natthanan Junkrajang dari Thailand dengan masa 4:17.59s.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu