Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 37m ago ]

ATB2 tahan 10 lelaki dari Filipina di perairan Denawan

Tarikh kemaskini: 23/11/2019
SEMPORNA, 22 Nov -- Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) menahan 10 lelaki dari Kepulauan Tawi-Tawi, Filipina di perairan Denawan dekat sini, semalam, dipercayai cuba menyeludup minyak.

Komander ATB 2, Brig Jen Johari Mohd Jaafar berkata kesemua lelaki berusia antara 20 dan 45 tahun yang tiada pengenalan diri itu ditahan pada kira-kira pukul 10.43 pagi, selepas pihaknya mengesan sebuah bot kumpit bergerak laju dari Kepulauan Tawi-Tawi, dipercayai menuju ke Tawau.

“Sejurus menyedari bot itu memasuki perairan Sabah, ATB 2 menerusi Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) dari 8 RRD (PARA) telah digerakkan untuk memintasnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap bot kumpit itu menemukan satu pucuk pistol buatan sendiri bersama sembilan butir peluru 9mm serta 300 tong minyak kosong.

"Suspek dan barang rampasan senjata api, tong minyak serta bot kumpit diserahkan ke Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu