Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 38m ago ]

Bernama agensi berita rasmi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019

Tarikh kemaskini: 21/11/2019
PUTRAJAYA, 21 Nov -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dilantik sebagai agensi berita rasmi bagi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyampaikan sijil selaku agensi berita rasmi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim dalam majlis prapelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

“Ini merupakan satu penghormatan kepada Bernama untuk menjadi agensi berita rasmi untuk Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019,” kata Nurini.

Katanya, sidang kemuncak ini merupakan satu peluang kepada Bernama untuk menyampaikan berita mengenai bagaimana umat Islam boleh diperkasa.

Dengan memfokuskan kepada tujuh teras, termasuk pembangunan dan kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik serta kebudayaan dan identiti, Nurini berkata, sidang kemuncak itu akan menghasilkan banyak berita menarik.

“Dan Bernama sebagai agensi berita nasional dan agensi berita rasmi untuk sidang kemuncak ini, bersedia untuk memainkan peranan itu,” katanya.

RTM dan TV Alhijrah akan menjadi penyiar rasmi untuk sidang kemuncak itu sementara Astro, Media Prima, TVRI (Indonesia) TRTWorld (Turki), PTV Network (Pakistan) dan Al-Jazeera merupakan rakan media rasmi.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bertemakan ‘Peranan Pembangunan Dalam Mencapai Kedaulatan Negara’ akan berlangsung dari 18-21 Dis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan sijil agensi media rasmi kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurini Kassim (kanan) pada majlis prapelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sidang Kemuncak ini akan dipengerusikan Dr Mahathir dengan kehadiran 450 pemimpin Islam, pemikir, intelektual dan cendiakawan dari seluruh dunia.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu