Kira-kira 5,000 orang termasuk dari luar sertai Ice Watch's Light Up The Day Run 2019 [ 25m ago ]

75.10 peratus peruntukan tahunan KPLB dibelanjakan

Tarikh kemaskini: 21/11/2019
PUTRAJAYA, 21 Nov -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah membelanjakan sebanyak RM6.13 bilion daripada jumlah keseluruhan peruntukan tahunan sehingga 3 Nov lepas bagi melaksanakan projek pembangunan dan pengurusan.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia merangkumi 75.10 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan dan mengurus sebanyak RM8.162 bilion yang diluluskan untuk kementerian itu tahun ini.

Antara faktor peruntukan itu tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya ialah apabila projek yang dirancang melibatkan proses perolehan tanah, izin lalu dan peraturan tambahan yang dikenakan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan, katanya.

"Kegagalan membelanjakan sepenuhnya peruntukan yang diberikan memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk luar bandar terutamanya yang berkaitan dengan pembangunan prasarana seperti jalan, jambatan, bekalan elektrik dan air," katanya pada perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Rina berharap baki peruntukan tersebut dapat dibelanjakan secara optimum menjelang akhir tahun ini.

Rina berkata pengurus program sama ada di kementerian atau agensi perlu mengatur strategi awal bagi memastikan peruntukan 2020 sebanyak RM8.415 bilion kepada KPLB dapat dilaksanakan dengan lancar dan dibelanjakan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata perancangan pembangunan luar bandar tahun hadapan perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan program yang menyokong Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Perancangan awal perlu bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan dan inisiatif Belanjawan 2020 berjalan lancar serta menyegerakan urusan dengan agensi teknikal selain memantapkan pengurusan aliran tunai projek terutama dalam mengoptimumkan peruntukan sedia ada, katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu