Projek Kuantan Rahmah 2020 fokus kitar semula minyak masak [ 9m ago ]

RM15 juta diperuntukkan kepada Tourism Johor bagi semarak VM2020

Tarikh kemaskini: 21/11/2019
DUN Johor
ISKANDAR PUTERI, 21 Nov -- Kerajaan Johor memperuntukkan RM15 juta kepada Tourism Johor bagi menyemarakkan Tahun Melawat Johor 2020 dan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata peruntukan itu adalah tertinggi dalam sejarah berbanding tahun sebelum ini.

Beliau berkata peruntukan itu bagi memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur pelancongan, aspek promosi dan penganjuran acara pelancongan.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah meningkatkan dan membangunkan kemudahan asas di destinasi pelancongan seluruh negeri Johor dengan kos sebanyak RM1.3 juta dan mempromosi penganjuran acara pelancongan utama bertaraf domestik dan antarabangsa sepanjang tahun 2020 termasuk acara utama dengan kos sebanyak RM1.7 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata inisiatif lain adalah memperhebat promosi tarikan pelancong menerusi penyertaan ekspo, jerayawara dan misi jualan pelancongan dalam dan luar negara dengan peruntukan sebanyak RM1.1 juta.

Selain itu, pengiklanan Tahun Melawat Johor 2020 diperkasakan di dalam dan luar negara menerusi pemasaran digital dalam pelbagai medium seperti papan tanda iklan, laman sesawang, media sosial serta paparan panel iklan dengan kos sebanyak RM8.2 juta.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mewujudkan insentif pakej pelancongan terbaik kepada ejen-ejen pelancongan dengan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi menggalakkan usaha mempromosikan destinasi pelancongan terpilih secara konsisten kepada pelancong bermalam dan RM400,000 lagi akan disalurkan untuk menjayakan penganjuran acara perniagaan seperti simposium, pameran dan persidangan bertaraf antarabangsa.

“Bagi menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong ke Johor, kerajaan negeri akan memperkenalkan laluan penerbangan yang baharu melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Laluan baharu tersebut merupakan tambahan kepada 11 penerbangan domestik dan tujuh penerbangan antarabangsa yang sedia ada,” katanya.

Menurut Dr Sahruddin, secara keseluruhannya, kerajaan negeri menyasarkan seramai 8.4 juta pelancong bermalam di Johor daripada sasaran keseluruhan kemasukan seramai 18.4 juta orang pelawat ke negeri ini sepanjang 2020.

Limpahan ekonomi yang akan diperolehi Johor adalah dianggarkan sebanyak RM29.4 bilion, katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu