Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 30m ago ]

Kerajaan laksana semak dan imbang mencukupi elak kes 1MDB berlaku lagi - Kadir

Tarikh kemaskini: 18/11/2019
Datuk A. Kadir Jasin (Gambar fail)
KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Kerajaan sedang melaksanakan semak dan imbang yang mencukupi serta pembaharuan bagi memastikan kes seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan berlaku lagi, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin.

Beliau berkata pembaharuan akan melindungi negara di bawah mana-mana kerajaan dan memastikan mereka tidak akan dapat menubuhkan satu lagi 1MDB.

"Walaupun sekiranya kerajaan ini tidak lagi mentadbir negara dalam pilihan raya yang akan datang, saya berharap dan saya fikir anda perlu membuat pembaharuan yang tidak boleh diubah.

"Jadi, itulah apa yang kerajaan telah lakukan," katanya semasa sesi perbincangan panel pada majlis Konvensyen Tadbir Urus Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC) - Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2019, di sini, hari ini.

Selain itu, Kadir berkata langkah-langkah pembetulan juga telah diambil bagi memulihkan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak diuruskan dengan baik.

"Terdapat GLC yang sangat baik dan terdapat juga beberapa GLC yang tidak diuruskan dengan baik. Kita melihat satu dua kes -- iaitu agensi dan bukannya syarikat - di mana tindakan undang-undang diambil ke atas pengerusi, ahli lembaga dan pengurusan kanan.

“Saya fikir ini akan membawa mesej mendalam kepada sektor korporat, terutamanya GLC, bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan sebarang perkara yang tidak betul dalam pengurusan syarikat-syarikat ini," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu