Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 26m ago ]

Masih ramai Ahli Parlimen pembangkang tidak isytihar harta

Tarikh kemaskini: 17/11/2019
Mohd Rashid Hasnon
MACHANG, 17 Nov -- Masih ramai ahli Parlimen pembangkang terutama daripada Barisan Nasional (BN) belum membuat pengisytiharan harta walaupun prosesnya mudah, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Mohd Rashid berkata situasi itu berbeza berbanding ahli Parlimen kerajaan yang sudah lama mempraktikkan perkara itu sejak dahulu, ketika bergelar pembangkang.

Beliau berkata pengisytiharan harta adalah penting bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan selain tuduhan palsu sekaligus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.

"Proses ini senang sahaja. Dalam Parlimen sendiri juga ada wakil yang boleh menyokong. Kalau seseorang itu ada membeli rumah atau tanah termasuk di luar negara, kita boleh isytiharkan sekali.

“Macam di Pulau Pinang kita sudah lantik dua firma untuk membuat pengauditan untuk sahkan pengisytiharan harta yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bual Bicara Bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bertajuk ‘Reformasi Parlimen’ yang turut dihadiri Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed di Dewan Profesional UiTM Machang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rashid berkata antara isu paling hangat mengenai pengisytiharan harta adalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini sedang dibicarakan di mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Melalui pengisytiharan harta, perkara seperti ini dapat menghalang mana-mana institusi yang memberikan wang kepada negara dan pada masa sama, kita harus membanterasnya dengan penggubalan akta dan sebagainya.

"Ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, saya melakukan penambahbaikan dan perkara sama juga dilakukan di Parlimen," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata bukan mudah untuk meminta mana-mana ahli Parlimen berbuat demikian walaupun kerajaan mempunyai kuasa.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata program bual bicara yang diadakan bersama institusi pendidikan tinggi mampu mendidik dan mendedahkan mereka dengan institusi yang mengawal kerajaan iaitu Parlimen, pentadbiran dan kehakiman.

"Mahasiswa perlu didedahkan perkara ini untuk pengetahuan mereka di masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu