Peruntukan RM111.47 juta untuk kemajuan sukan, pembangunan belia di Sabah [ 17m ago ]

Rabies: 140,103 ekor anjing telah divaksin - KP Veterinar

Tarikh kemaskini: 17/11/2019
Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam
SEREMBAN, 17 Nov -- Sebanyak 140,103 daripada kira-kira 205,000 ekor anjing telah divaksin sejak 2017 sehingga kini dalam usaha mengawal penularan wabak rabies di Sarawak, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Beliau berkata kajian mendapati 95 peratus penularan wabak rabies adalah menerusi bawaan anjing, dan ketika ini Sarawak adalah antara negeri yang amat terdedah kepada wabak berkenaan, di mana setakat ini ia telah meragut 21 nyawa.

“Di semenanjung, kita buat operasi mevaksin anjing di Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak iaitu di kawasan 50 hingga 80 kilometer daripada sempadan Thailand yang dikenali sebagai kawasan imun. Dengan kaedah begini kita dapat kawal supaya ia tak merebak di negeri di sebelah selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Rabies Sedunia 2019 di sini, hari ini, dalam satu majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan Dr Nik Hamidah Nik Husin.

Dr Quaza Nizamuddin berkata tiada kes jangkitan rabies dilaporkan semenanjung sepanjang tahun ini.

“Rakyat tak perlu bimbang cuma di Sarawak, ia masih dalam program kawalan penyakit. Kebanyakan kawasan di Sarawak kita telah vaksin, cuma usaha yang lebih tinggi perlu dilakukan di kawasan Kuching,” katanya sambil menambah bahawa selain anjing, turut positif sebagai pembawa wabak rabies adalah kucing namun bilangannya adalah rendah.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik haiwan berkenaan khususnya di Sarawak supaya mengambil vaksin terhadap haiwan belaan mereka bagi membendung penularan wabak rabies.

Sementara itu, Dr Quaza Nizamuddin dalam ucapan perasmian berkata pihaknya telah melakukan pelbagai tindakan kawalan bagi mencegah penyakit rabies daripada menular di dalam negara termasuk membentuk kawasan imun di semenanjung.

“Pembentukan kawasan imun bermaksud negeri-negeri yang bersempadan dengan negara yang berisiko tinggi untuk terkena jangkitan rabies di mana segala bentuk tindakan kawalan oleh pihak berkuasa dapat dijalankan dengan berkesan di kawasan terbabit.

“Aktiviti yang dijalankan di kawasan imun termasuklah mewajibkan setiap anjing bertuan mendapatkan imunisasi, melesenkan anjing dan memelihara ia di dalam kawasan rumah sebagai kawalan terhadap populasi anjing terbiar dengan efektif,” katanya dan menambah sebanyak 11,314 anjing bertuan di kawasan imun telah divaksin.

Hari Rabies Sedunia disambut pada 28 Sept setiap tahun dengan tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan penyakit rabies, dan tahun ini “Vaccinate to Eliminate’ dipilih mejadi temanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu