Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 35m ago ]

Majlis Presiden adakan post mortem minggu depan

Tarikh kemaskini: 17/11/2019
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan pada perasmian Konvensyen Amanah Negeri Sembilan Kali Keempat hari ini.
SEREMBAN, 17 Nov -- Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai termasuk mengenai ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang dijadualkan minggu hadapan, kata Naib Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata mesyuarat berkenaan akan melakukan 'post-mortem' mengenainya dan seterusnya merangka tindakan susulan.

"Saya rasa ada satu, dua faktor besar yang PH perlu buat analisa terhadap keputusan Tanjung Piai...jadi saya sendiri sangat terbuka terima kekalahan ini dan satu, dua faktor itu seharusnya kita bincang dalam Majlis Presiden supaya ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan hari ini dapat kita rungkai.

"Apa pun saya menganggap fenomena ini hanya bersifat sementara sebab biasanya dalam mana-mana PRK,ada kumpulan yang melaksanakan hak dalam bentuk protes. Saya melihat perkara itu penting supaya apa-apa yang kita fikirkan perlu untuk struktur semula, akan kita lakukan dibawah kesepakatan kita dalam PH,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan kali ke-4 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan AMANAH negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Mohamad Taufek Abd Ghani.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata selain itu, kekalahan PH juga berkemungkinan disebabkan penjelasan isu serta cerita mengenai kejayaan dasar yang dilaksanakan kerajaan tidak sampai ke peringkat akar umbi.

"Banyak kisah kejayaan yang tak sampai misalnya kita berjaya wujudkan kerajaan yang berintegriti, kita dah tak dengar kes-kes rasuah, semua dapat kita lakukan secara telus. Mungkin kekuatan media sosial PH yang saya rasa perlu ditingkatkan kerana kebanyakkan orang kampung hari ini ada telefon pintar di tangan.Ini trend permodenan teknologi yang saya rasa PH tidak dapat untuk sampaikan apa jua komunikasi kepada peringkat paling bawah (di Tanjung Piai),"katanya.

Semalam, Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada PRK kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Wee memperoleh 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini memperoleh 10,380 undi, calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707 undi), calon Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850) serta calon Bebas Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar (32).

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Terdahulu, Salahuddin ketika merasmikan konvensyen itu berkata apa yang berlaku dalam PRK berkenaan merupakan isyarat penting daripada rakyat untuk PH menelitinya dan masih terdapat ruang untuk memperbaikinya.

Beliau turut mengingatkan anggota supaya mengambil iktibar, memperkukuh integriti dan bekerja kuat mendampingi rakyat.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu