Peruntukan RM111.47 juta untuk kemajuan sukan, pembangunan belia di Sabah [ 17m ago ]

Program Alam Flora City Hunt kumpul 1,500 kg barang kitar semula

Tarikh kemaskini: 17/11/2019
Datuk Mohd Zain Hassan
KUALA LUMPUR, 17 Nov -- Dalam usaha membudayakan nilai kebersihan dan mengekalkan alam sekitar dalam kalangan warga kota, sejumlah 1,500 kilogram (kg) barang kitar semula berjaya dikumpulkan peserta program Alam Flora City Hunt 2019 #JomRawatBumi.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Datuk Mohd Zain Hassan berkata penganjuran program kali ketiga itu menerima penyertaan 132 peserta tempatan melibatkan 33 kumpulan daripada pelbagai lapisan umur, termasuk dalam kalangan blogger dan selebriti.

"Penganjuran program ini untuk memberi pendedahan berterusan kepada orang ramai terhadap kepentingan kitar semula dan penjagaan alam sekitar kerana banyak isu alam sekitar kita dapat dengar sekarang," katanya pada sidang media selepas perlepasan peserta oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, di sini hari ini.

Mohd Zain berkata melalui program berkenaan, pihaknya menyasarkan untuk mengurangkan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah kerana kebanyakan sisa di bandar raya ini berbentuk sumber boleh dikitar semula seperti plastik dan kertas.

Beliau berkata peserta perlu mengharungi beberapa tugasan dan cabaran di tujuh lokasi (check point) berlainan dalam tempoh dua jam, dua daripadanya ialah Cabaran Plogging di mana mereka berjoging sambil mengutip sampah di sepanjang perjalanan, serta Cabaran Info Tentang Alam Flora dengan menjawab soalan berhubung alam sekitar.

Acara itu antara program utama Alam Flora bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam aspek penjagaan kebersihan bandar raya dan alam sekitar.

Peserta bermula dan berakhir di Dataran DBKL 1 di Jalan Raja Laut, dan sebahagiannya melibatkan laluan program 'KL Car Free Morning'.

Kumpulan ‘Gov Muscle Team’ meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, medal dan sijil penyertaan, manakala tempat kedua dimenangi Wodern Tigers (RM1,500, medal dan sijil), sementara kumpulan Budget Good Good di kedudukan ketiga dan menerima wang tunai RM1,000, medal dan sijil.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu