PATI lari dari Depot Tahanan Imigresen Miri ditahan semula [ 11m ago ]

Jangan gadai kepentingan Tanjung Piai kerana ego politik - ibu Allahyarham Md Farid

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
Norma Mohamed (Gambar fail)
Oleh Mohd Faizal Hassan

PONTIAN, 9 Nov -- Kesinambungan dan legasi pelbagai program pembangunan yang telah dirancang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik untuk Parlimen Tanjung Piai perlu diteruskan dan tidak seharusnya terbantut sehingga menggadai kepentingan kawasan itu.

Ibu Dr Md Farid, Norma Mohamed berkata kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini perlu direalisasikan bagi membolehkan kesinambungan program pembangunan yang dirancang selama ini.

“Ini bukan permainan, ini bukan kerja bohong, ini perkara sebenar. Ini dari kerajaan sendiri, yang ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) yang luluskan, tiada perkara tersembunyi, bukan gula-gula tetapi kerja yang arwah buat selama ini.

“Ini hadiah dari arwah. Harap orang Tanjung Piai dapat menilai dan rasa apa yang dirancang arwah. Kalau parti lain yang tadbir, tidak mustahil ada gangguan yang halang pembangunan di sini. Tidak pernah di sini berlaku kemajuan seperti arwah rancang.

“Walaupun arwah tidak merasa, tetapi kita boleh rasa. Kalau parti lain yang menang, adakah orang di sini akan dapat apa-apa? Ini permainan politik. Janganlah gadai Tanjung Piai demi ego politik. Menang sorak, kampung tergadai. Fikirlah baik-baik,” katanya.

Norma atau lebih mesra dipanggil Mak Ne itu berkata demikian kepada Bernama, NST dan The Star dalam temu bual eksklusif dan santai di rumahnya di Serkat, kira-kira 35 minit dari pekan Pontian baru-baru ini.

Dr Md Farid, 42, meninggal dunia kira-kira 5.30 pagi akibat serangan jantung pada 21 Sept lepas.

Allahyarham, yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Sambil menjamu tetamu dengan asam pedas ikan sembilang, Norma berkata antara yang telah dirancang anak sulungnya itu adalah membabitkan prasarana, jalan raya, lampu jalan, jeti dan dewan sekolah.

“Itu kehendak dia. Jalan raya penting untuk membangunkan industri pelancongan di kawasan ini. Dia sendiri yang meminta kerja-kerja berkaitan apa yang telah dirancang ini dipercepatkan dan diselesaikan dalam pentadbirannya.

“Dia ambil berat dan mahu ia diselesaikan dengan sempurna. Pada pemerintahan sebelum ini, tiada keistimewaan seperti ini yang telah dirancang. Cuma semua ini memerlukan masa kerana melibatkan proses tender dan kontraktor,” katanya.

Norma turut berkongsi perihal dan keperibadian arwah yang suka mendengar sendiri masalah penduduk dan tidak mahu mendengar bulat-bulat dari mulut orang lain selain cuba menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan.

Pada PRK ini, Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian PRK itu ditetapkan pada 16 Nov ini.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu