UTeM perkenal Anugerah Khas TUAH pada konvokesyen ke-15 [ 6m ago ]

Majlis Bandaraya Seberang Perai, dua syarikat lain raih Anugerah Kualiti SIRIM 2019

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani
Laporan Eksklusif Oleh: Zufazlin Baharuddin

PETALING JAYA, 8 Nov -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan dua syarikat lain meraih Anugerah Kualiti SIRIM 2019 untuk sistem pengurusan kualiti mereka yang cemerlang.

MBSP memperoleh anugerah itu dalam kategori kerajaan, manakala Teleplan Technology Services Sdn Bhd dan Averex Technology Sdn Bhd, masing-masing memenangi kategori syarikat besar dan kategori perusahaan kecil dan sederhana.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata sebanyak 27 organisasi dari sektor awam dan swasta telah dinilai selama dua bulan bermula September berdasarkan lima kriteria untuk memenuhi standard kebangsaan dan antarabangsa.

“Mereka dinilai pada komitmen pengurusan dalam pengurusan kualiti keseluruhan dalam organisasi, pelaksanaan aktiviti 5S yang memberi impak positif kepada organisasi dan keberkesanan pelaksanaan sistem pengurusan berasaskan standard.

“Kriteria lain termasuklah komitmen kepada kualiti, produktiviti dan inovasi serta prestasi organisasi secara keseluruhan, termasuk prestasi kewangan dan pencapaian petunjuk prestasi utama,” katanya kepada Bernama pada Majlis Industri SIRIM 2019 di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lokman Hakim Ali menyampaikan anugerah itu kepada pemenang dan merasmikan acara tersebut bagi pihak menteri, Datuk Darell Leiking.

Turut hadir Pengerusi SIRIM Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Semua pemenang menerima trofi, insentif dalam bentuk penggunaan logo anugerah itu untuk publisiti dan tujuan promosi selama tiga tahun, dan rebat sebanyak RM10,000 untuk sebarang perkhidmatan dalam SIRIM QAS International Sdn Bhd dan SIRIM STS Sdn Bhd.

Mengulas mengenai anugerah itu, Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Rozali Mohamud berkata prestasi organisasi menjadi keutamaan kepada pengurusan MBSP untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Seberang Perai.

“Dengan lebih sejuta orang di Seberang Perai, saya menumpukan kepada pelaksanaan proses kerja dan melihat sama ada terdapat sebarang aduan," katanya.

Pada acara sama, SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM, melancarkan Mobile Consignment Testing Services (MCTS) menyasarkan kepada pengimport produk elektrik dan elektronik dalam pasaran Malaysia yang memerlukan kelulusan SIRIM dan label melalui SIRIM Batch Certification Scheme.

“MCTS boleh menjalankan pemeriksaan dan perkhidmatan ujian di mana-mana lokasi di Lembah Klang serentak di premis pelanggan,” kata Ahmad Fadzil.

MTCS dilengkapi dengan sistem maklumat dan teknologi yang dipertingkatkan dengan peralatan ujian yang termasuk arus bocor, kesinambungan bumi dan penguji voltan tinggi.

Pada masa ini, lebih 700 organisasi diperakui di bawah pelbagai skim pensijilan sistem pengurusan dengan hampir 800 lesen pensijilan produk SIRIM dikeluarkan kepada syarikat.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu