Keputusan pasukan petugas untuk Airbnb diputuskan tahun depan [ 1m ago ]

KKMM kerjasama dengan KBS bangunkan e-sukan - Gobind

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR, Nov 8 -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membangunkan infrastruktur digital terutamanya e-sukan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, ini berikutan komitmen tinggi kerajaan dalam mengembangkan potensi e-sukan di negara ini, misalnya melalui peruntukan sebanyak RM20 juta untuk industri itu menerusi Belanjawan 2020.

"Kita memang bekerjasama dengan KBS kerana kita di peringkat KKMM kita ini membina apa yang disebut sebagai, kami bina infrastruktur, dan sudah tentu kandungan sebenar, dan apa kami panggil, bagaimana kami majukan dalam konteks permainan, kita bekerjasama dengan KBS.

Itu adalah satu perkara yang kita akan umumkan dalam masa terdekat bersama-sama dengan YB Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup pada program LEVEL UP KL BIZ 2019 di sini, hari ini.

Terdahulu, KKMM mengumumkan perkongsiannya dengan Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios (SIE WWS) untuk menubuhkan studio pengeluar permainan global terkemuka itu di Asia Tenggara, iaitu di Malaysia pada 2020.

Program tahunan LEVEL UP KL ialah sebahagian daripada mandat Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) Sdn Bhd untuk mempelopori ekonomi digital di Malaysia menerusi pertumbuhan industri permainan video negara.

Matlamatnya ialah mewujudkan satu platform bagi pemain permainan video, pemaju permainan, korporat dan e-sukan, yang membolehkan semua untuk mengumpil pasaran terbesar hiburan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi utama di rantau ini.

LEVEL UP KL 2019 berlangsung dari 2 hingga 10 Nov ini, menyediakan pelbagai aktiviti dari dan untuk industri permainan video serta orang awam.

Terdahulu Gobind turut menyampaikan anugerah kepada pemenang SEA Games Award 2019 bagi kategori 'Grand Jury' kepada pasukan Passion Republic Games dari Malaysia melalui permainan 'Gigabash'.

Anugerah itu bertujuan bagi mengiktiraf dan meraikan kreativiti, kesenian dan kegeniusan teknikal pemaju dan pengeluar permainan video terbaik dari sekitar rantau ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu