Peruntukan RM86,000 disalur kepada balai bomba dan penyelamat, persatuan bomba sukarela [ 7m ago ]

Peratusan pekerja mahir di Malaysia masih rendah - Darell

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
SUBANG JAYA, 7 Nov -- Peratusan pekerja mahir dalam bidang pengurusan, profesional dan juruteknik di Malaysia masih rendah iaitu pada 27.2 peratus berbanding sasaran 35 peratus yang ditetapkan menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata sumbangan pekerja kepada pertumbuhan ekonomi masih boleh dipertingkatkan kepada tahap yang lebih baik.

“Penting bagi setiap organisasi untuk melaksanakan inisiatif penambahbaikan secara berterusan bagi memupuk budaya kerja produktif kerana ia boleh memberi pendapatan yang baik untuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penutup Persidangan dan Pameran Produktiviti dan Inovasi Tahunan (APIC) 2019 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini, malam ini.

APIC merupakan antara inisiatif MPC untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti, selaras dengan dasar Industry4WRD yang dilancarkan oleh MITI pada tahun lepas.

Darell berkata selain penggunaan teknologi, pekerja juga perlu melakukan perubahan minda yang positif kreatif dan inovatif.

“Jika elemen teknologi dan kreatif ini digabungkan, Malaysia berada pada landasan yang betul untuk menjadi pemimpin dalam melahirkan idea dan produk terbaik bukan sahaja bagi rakyat tempatan tetapi pasaran dunia,” katanya.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPC-Nexus Produktiviti Elektrikal dan Elektronik dan tujuh pusat teknologi industri 4.0 turut diadakan pada majlis tersebut.

MoU tersebut untuk menjalin kerjasama pertukaran maklumat, kursus dan khidmat nasihat berkaitan teknologi Industri 4.0.

Mengenai MoU itu, Darell berharap semua syarikat pembuatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan memanfaatkan pusat teknologi tersebut untuk mendapat maklumat mengenai Industri 4.0 bagi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti pengeluaran.

Sementara itu, Pengerusi MPC, Chua Tian Chang berkata APIC 2019 yang memberi tumpuan kepada Industri 4.0, menyaksikan sejumlah 300 kumpulan membentangkan projek penambahbaikan yang inovatif dan kreatif untuk membudayakan amalan produktif bagi kecemerlangan organisasi masing-masing.

“Dengan mengambil kira perubahan yang pesat dalam pasaran dinamik dan keterbukaan ekonomi, setiap organisasi perlu sentiasa proaktif dan inovatif.

“Organisasi juga perlu mewujudkan dan membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga organisasi mereka,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu