Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 35m ago ]

PKS digesa beri tumpuan terhadap pembinaan jenama

Tarikh kemaskini: 06/11/2019
Laporan Eksklusif Oleh: Jeffrey Goh Kok Guan

GEORGE TOWN, 6 Nov -- Pengusaha dan pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa memberi tumpuan terhadap membina identiti jenama mereka dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan modal dan nilai tambah kepada perniagaan serta pelanggan mereka.

Pengasas label kasut jenama mewah XALF, Xavier Mah, berkata pembinaan identiti jenama yang kukuh bagi PKS akan meningkatkan kehadiran mereka dalam pasaran yang kompetitif dan lebih mudah membina rangkaian dengan pelabur yang berpotensi.

Mah yang juga pengasas Xavier Mah Consultancy berkata satu strategi penjenamaan untuk PKS bersaing dengan konglomerat terkemuka adalah dengan menyuntik elemen emosi dalam menyampaikan gambaran kehidupan seseorang dalam usaha untuk mendapatkan pendedahan dan mempunyai daya tarikan kepada pihak berkepentingan yang berpotensi.

“Adalah penting untuk memahami apa yang menjadikan syarikat anda lebih menonjol berbanding yang lain, dan penggunaan cerita beremosi akan membantu membina profil yang baik untuk syarikat anda sendiri,” katanya pada seminar di Dewan Perdagangan dan Perniagaan Cina Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan walaupun kebanyakan PKS mempunyai peruntukan yang terhad berbanding syarikat yang lebih besar, melaksanakan penyampaian gambaran kehidupan seseorang dengan lebih berkesan akan mendapat perhatian media dan mempromosikan perniagaan mereka pada kos yang lebih rendah.

Beliau berkata pengasas perniagaan yang berjaya juga telah menjual diri mereka untuk membina reputasi peribadi dengan latar belakang mereka sendiri yang memberi inspirasi kepada orang lain, menggunakan contoh seperti pengasas AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan pengasas bersama Alibaba Group, Jack Ma.

“Produk dan harganya tidak menjual (jenama syarikat anda, tetapi) kisah manusia memang boleh menjual,” tambahnya.

Sementara itu, CK Chamg, pengasas jenama gaya hidup mewah Oxwhite, berkata bahawa pemilik dan pengusaha perniagaan juga akan memberikan komitmen penuh kepada jenama mereka sendiri dan menjadi cukup berani untuk berfikir di luar kebiasaan.

“Selagi anda bersedia membuat apa yang tidak dilakukan oleh orang lain, walaupun ia nampak mustahil dan gila, anda akan lebih menonjol berbanding yang lain dan membina reputasi anda sendiri,” katanya.

Chang telah melakukan sesuatu yang berani dan kreatif untuk mempromosikan syarikatnya termasuk menjual baju kolar premium pada harga 99 sen untuk 1,000 pelanggan pertama, menghasilkan jambangan bunga dan menghantar undangan kepada syarikat media bagi mendapatkan pendedahan, serta memuat naik video di media sosial yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian Tony Fernandes.

“Jika saya berani melakukan tindakan yang berani, sekurang-kurangnya saya tahu ia mungkin satu peluang untuk saya berjaya, tetapi jika saya gagal sekurang-kurangnya saya gagal selepas mencuba,” katanya kepada Bernama selepas seminar tersebut.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu