EKONOMI

MISMIS ORAL CARE AKAN TEMBUSI PASARAN BRUNEI, INDIA DAN ASIA BARAT TAHUN DEPAN

24/10/2019 07:17 PM

BANGI, 24 Okt -- Rangkaian produk Mismis Oral Care, yang dikomersialkan berdasarkan teknologi yang dibangunkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM), akan menembusi pasaran baharu iaitu Brunei, India dan Asia Barat pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus berkata kejayaan pembangunan produk Mismis Oral Care itu membuktikan teknologi LKM yang bertaraf dunia.

“LKM membangunkan teknologi menghasilkan ubat gigi daripada koko manakala MTDC membantu memindahkan teknologi tersebut kepada usahawan untuk dikomersialkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rangkaian Mismis Oral Care  di sini hari ini.

Rangkaian produk Mismis Oral Care yang dilancarkan hari ini adalah ubat gigi perisa koko dan cengkih untuk dewasa, ubat gigi berperisa coklat pudina untuk dewasa serta ubat gigi perisa coklat dan 'bubble gum' untuk kanak-kanak.

Pengeluar Mismis Oral Care ialah NFA Technologies Sdn Bhd yang merupakan penerima dana pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan daripada MTDC untuk mengkomersialkan teknologi ubat gigi daripada koko.

 Norhalim berkata pembangunan Mismis Oral Care penting kerana ia merupakan kejayaan teknologi yang dibangunkan oleh LKM dan berjaya dipindahkan kepada usahawan tempatan untuk dikomersialkan di pasaran antarabangsa.

"Komoditi negara seperti koko dan sebagainya perlu mempunyai produk  hiliran yang banyak supaya pengusaha tempatan dapat menjual komoditi masing-masing dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan NFA Technologies Noormawarni Nordin berkata produk Mismis Oral Care pada masa ini boleh didapati di klinik pergigian di seluruh negara, Watsons online, Shopee dan Lazada.

Pada akhir tahun ini, katanya Mismis Oral Care akan memasuki pasar raya Tesco di seluruh negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan