Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 54m ago ]

Komando VAT69 'insurans' negara

Tarikh kemaskini: 23/10/2019
Abdul Hamid Bador
IPOH, 23 Okt -- Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menyifatkan pasukan Komando VAT69 (VAT69) sebagai 'insurans' yang akan digunakan ketika waktu-waktu terdesak.

Beliau berkata anggota dalam pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memang cukup terlatih dan memberikan banyak sumbangan kepada negara.

"Selaku IGP (ketua polis negara) saya anggap ini (VAT69) sebagai saya punya insurans. Insurans yang saya simpan, apabila diperlukan dalam keadaan terdesak, inilah yang akan saya gunakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Bridged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menyedari peranan VAT69, Abdul Hamid berkata beliau akan memastikan pasukan tersebut dilengkapi dengan peralatan, teknologi dan latihan terkini.

Lebih menarik, Abdul Hamdi berjanji akan berusaha untuk memohon daripada kerajaan agar elaun pegawai dan anggota VAT69 dapat dinaikkan sesuai dengan tugasan mereka yang mencabar.

"Saya akan mohon supaya elaun dapat dinaikkan setimpal dengan titisan peluh dan beban psikologi mereka. Saya akan jumpa Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) rayu kepada beliau kalau dapat naikkan dalam 25 peratus, atau 30 peratus atau 34 peratus," katanya.

Menurut Abdul Hamid, ketika ini terdapat seramai 661 pegawai serta anggota VAT69 dan mereka menikmati elaun antara RM600 hingga RM900.

Komando VAT69 ditubuhkan pada 23 Okt 1969 dan merupakan pasukan komando kedua dalam negara selepas Grup Gerak Khas Tentera Darat.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu