Sekurangnya empat mati bila bangunan runtuh di Phuket [ 3h ago ]

Pelaksanaan B20 tepat masanya tatkala industri minyak sawit berdepan waktu sukar

Tarikh kemaskini: 23/10/2019


KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Pelaksanaan biodiesel B20 pada tahun depan bagi sektor pengangkutan adalah tepat pada masanya tatkala industri minyak sawit negara berdepan waktu sukar, di samping tindakan diskriminasi oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap komoditi penting itu, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata kerjasama dengan syarikat petroleum di negara ini, adalah, amat penting untuk memulakan program biodiesel B20 untuk menaik taraf depot pengadunan di seluruh negara.

"Lebih cepat kami laksanakan program ini, lagi cepat ia dapat membantu dalam mengurangkan paras stok (minyak sawit) negara," katanya dan menurutnya pelaksanaan biodiesel B20 dijangka meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun.

Kok ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan Lembaga Getah Malaysia di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 baru-baru ini berkata program itu akan dilaksanaka menjelang akahir 2020.

Bagaimanapun, berikutan tiada peruntukan ditetapkan untuk program itu, Kok berkata kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyelesaikan perkara itu.

"Perbincangan sedang berjalan," katanya.

Dalam perkembangan lain, menteri itu menggesa syarikat tempatan yang mengeluarkan produk berasaskan komoditi seperti lada hitam dan coklat untuk menggunakan bungkusan menarik untuk menarik lebih banyak permintaan.

"Tahun depan kita akan berdepan kelembapan ekonomi, oleh itu kita perlu menerokai lebih banyak pasaran dan menambah lebih banyak produk hiliran," katanya.

Bagi tempoh Januari-Ogos 2019, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM107.7 bilion, manakala imbangan dagangan adalah sebanyak RM56.9 bilion.

Pendapatan eksport produk-produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM82.4 bilion atau 12.7 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Ini merupakan penurunan sebanyak tiga peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 yang mencatatkan nilai sebanyak RM84.9 bilion.

Penurunan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan oleh faktor kejatuhan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit, dan getah asli.

Walaupun nilai eksport mengalami penurunan, kuantiti eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 13.7 peratus kepada 18.7 juta tan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu