Papua New Guinea, Nigeria And Honduras To Become New Members Of Council Of Palm Oil Producing Countries | 
Pelaksanaan Dagang Net eScroll di empat universiti di Indonesia [ 2m ago ]

Majistret direman disyaki terima rasuah

Tarikh kemaskini: 23/10/2019
KUANTAN, 23 Okt -- Seorang majistret hari ini direman lima hari, bagi membantu siasatan kes menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengenakan hukuman penjara terhadap suspek kes penyeludupan rokok.

Reman bagi Majistret berusia 38 tahun yang bertugas di sebuah mahkamah di negeri Pahang itu, dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Kuantan, di sini hari ini, bermula hari ini sehingga 27 Okt depan.

Lelaki yang mengenakan pakaian kemeja berwarna putih itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan pada jam 11.20 pagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan, mengesahkan penahanan reman itu.

“Kita memang ada terima maklumat (mengenai rasuah melibatkan Jabatan Kehakiman) dan ini berkemungkinan salah satu daripadanya,” katanya ringkas.

Pada 15 Okt lalu, SPRM dilaporkan menerima 20 maklumat berhubung rasuah melibatkan Jabatan Kehakiman daripada awal Januari sehingga Ogos tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu