Papua New Guinea, Nigeria And Honduras To Become New Members Of Council Of Palm Oil Producing Countries | 
Pelaksanaan Dagang Net eScroll di empat universiti di Indonesia [ 2m ago ]

30 pemerhati EU dihantar ke Sri Lanka menjelang pilihan raya presiden

Tarikh kemaskini: 23/10/2019
COLOMBO, 23 Okt -- Sejumlah 30 pemantau pilihan raya asing dari Misi Pemerhatian Pilihan Raya Kesatuan Eropah (EU) telah dihantar ke sembilan wilayah di Sri Lanka pada Selasa bagi memulakan pemantauan ke atas proses pilihan raya, beberapa minggu menjelang pemilihan presiden pada 16 Nov, lapor agensi berita China Xinhua.

Dimitra Ioannou, timbalan ketua pegawai Misi Pemerhatian Pilihan Raya EU, memberitahu pemberita di Colombo bahawa pemerhati EU telah tiba di Sri Lanka selepas dijemput oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka.

Ini adalah kali keenam pemerhati EU memantau pilihan raya Sri Lanka selepas menghantar misinya untuk berbuat demikian semasa pengundian pada 2000, 2001, 2004, 2005 dan 2015, kata Dimitra.

"Kami berada di Sri Lanka dengan sekumpulan 30 pemerhati jangka panjang berpengalaman yang telah dihantar ke semua sembilan wilayah mulai Selasa. Mereka akan bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan di kawasan masing-masing dan mula menghantar maklumat pertama dari lapangan tidak lama lagi," kata Dimitra.

Pada hari pengundian, 30 lagi pemerhati jangka pendek dan tujuh anggota Parlimen Eropah akan menyertai pemerhati jangka panjang yang menjadikan jumlah keseluruhan misi kepada hampir 70 orang.

Pemerhati EU akan kekal di negara pulau itu sehingga selepas pengundian bagi memantau jika terdapat sebarang rayuan atau aduan yang telah atau mungkin dibangkitkan.

Sejumlah 35 calon akan bertanding dalam pilihan raya presiden Sri Lanka bulan depan manakala lebih 16 juta orang dijangka mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata ia telah mencatat lebih 1,000 kesalahan berkaitan pilihan raya setakat ini.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu