Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 59m ago ]

Naib Presiden Tribunal Pilihan Raya Bolivia letak jawatan susulan kontroversi pengiraan undi

Tarikh kemaskini: 23/10/2019
MOSCOW, 23 Okt -- Naib Presiden Tribunal Pilihan Raya Agung Bolivia, Antonio Costas, meletak jawatan susulan kontroversi yang menyelubungi keputusan pilihan raya presiden, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik surat peletakan jawatan Costas.

Menurut surat itu, yang diserahkan pada Selasa, "keputusan untuk meletak jawatan adalah disebabkan alasan berikut: ‘Keputusan tidak munasabah Tribunal Pilihan Raya Agung untuk menangguhkan penerbitan Sistem Transmisi Keputusan Awal Pilihan Raya – TREP.’"

Terdahulu pada Selasa, Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) mengumumkan bahawa ia akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu bagi membincangkan keputusan pilihan raya presiden Bolivia.

Menteri Luar Bolivia Diego Pary mengumumkan pada satu sidang akhbar bahawa kerajaan negara itu telah menghantar satu nota rasmi kepada OAS yang mempelawanya untuk menjalankan satu "audit" bagi memeriksa keseluruhan proses penjumlahan undi dalam pilihan raya presiden.

Tribunal Pilihan Raya Agung Bolivia mengumumkan pada lewat Isnin bahawa daripada sejumlah 95.43 peratus undi dikira, penyandang Presiden Evo Morales telah meraih 46.86 peratus manakala pesaingnya, Carlos Mesa telah memperoleh 36.72 peratus.

Bagi memenangi pusingan pertama pilihan raya presiden di Bolivia, seorang calon perlu memperoleh lebih 50 peratus undi, atau sebagai alternatif, sekurang-kurangnya 40 peratus dengan margin 10 peratus daripada pesaing terdekat.

Mesa enggan mengiktiraf keputusan itu dan menuduh kerajaan Bolivia melakukan penipuan pilihan raya.

OAS meluahkan kebimbangan pada Selasa berhubung situasi mengelirukan berkaitan pengiraan undi di Bolivia, sambil mengingatkan bahawa keputusan awal yang dikeluarkan pada Ahad menunjukkan bahawa akan ada pusingan kedua pilihan raya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu