Sekurangnya empat mati bila bangunan runtuh di Phuket [ 3h ago ]

Semua agensi keselamatan digesa tingkat kesiapsagaan untuk sidang kemuncak Asean - TPM thailand

Tarikh kemaskini: 22/10/2019
Laporan Eksklusif Oleh Linda Khoo

BANGKOK, 21 Okt -- Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan hari ini mengarahkan semua agensi keselamatan menyelaras dan meningkatkan kesiapsiagaan menjelang ketibaan hari Sidang Kemuncak Asean ke-35 yang diadakan dari 2 sehingga 4 November di Bangkok.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Lt Jen Kongcheep Tantrawanich berkata Jen Prawit menggesa semua agensi-agensi yang berkaitan supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang keadaan berdasarkan kepada standard antarabangsa.

“Jen Prawit turut mengarahkan agensi-agensi keselamatan untuk meningkatkan tanggungjawab mereka mengumpul maklumat risikan bagi melindungi nama baik dan imej negara semasa sidang kemuncak nanti.

“Beliau (Jen Prawit) turut mengarahkan Kementerian Dalam Negeri bekerjasama rapat dengan Bangkok Metropolitan Administration serta agensi-agensi yang berkaitan untuk memeriksa kamera pengawasan di Bangkok dan kawasan pinggir bandar,” katanya.

Kongcheep berkata timbalan perdana menteri juga mengarahkan agensi-agensi yang berkaitan meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan keselamatan di kawasan sempadan - darat, udara dan air.

“Insiden-insiden serta individu yang meragukan perlu dilapor kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindak balas segera,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean ke-35 dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dijadual berlangsung dari 31 Okt sehingga 4 Nov di Impact Muang Thong Thani, Bangkok.

Thailand sebagai Pengerusi Asean, akan menjadi tuan rumah kepada kehadiran pemimpin-pemimpin 10 negara anggota Asean dan rakan-rakan dialognya.

Semasa Sidang Kemuncak Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-52, Ogos lepas, beberapa letupan dilaporkan di tengah bandaraya Bangkok yang menyaksikan empat orang tercedera, dan polis pula mengesan sembilan bom, termasuk beberapa alat yang tidak meletup di lima lokasi.

Minggu lepas pula polis merampas 35 senjata api serta kira-kira 480 peluru dan menahan 30 individu di Don Muang.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Suwat Chaengyotsuk berkata kira-kira 10,000 anggota polis akan dikerah untuk penugasan di Sidang Kemuncak itu nanti.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu