Papua New Guinea, Nigeria And Honduras To Become New Members Of Council Of Palm Oil Producing Countries | 
Caj penggunaan ruang udara akan dikaji semula - Loke [ 3m ago ]

Perkeso gesa kerajaan biaya pusat pemulihan di Ipoh, bukannya Perkeso

Tarikh kemaskini: 22/10/2019
KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta supaya kerajaan sendiri membiayai penubuhan pusat pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM500 juta yang dicadangkan di Ipoh yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, dan bukannya dibiayai Perkeso.

Setiausaha Agung MTUC J.Solomon melahirkan kebimbangan dengan belanjawan yang dibentangkan Parlimen baru-baru ini, yang mengumumkan bahawa dana Perkeso akan digunakan bagi membiayai projek mega itu.

Menurutnya langkah itu akan menyebabkan kos yang melonjak, dan pada masa yang sama mengakibatkan dana Perkeso akan semakin menyusut hanya untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan sahaja.

Berdasarkan pengalaman yang lepas kosnya akan meningkat kira-kira 20-30 peratus apabila disiapkan, dan memberi contoh sebuah pusat di Melaka yang pada awalnya kos dianggar RM200 juta, dan kemudiannya melonjak kepada lebih RM275 juta pada masa ia disiapkan pada tahun 2014.

“Oleh itu MTUC membantah dengan keras penggunaan dana Perkeso, atau lebih tepat lagi sumbangan pekerja, digunakan bagi membina dan mengambil projek besar, yang akan melemahkan badan itu. Pada masa ini Perkeso terpaksa membelanjakan kira-kira RM75 juta setiap tahun untuk mengekal dan mengendalikan pusat di Melaka itu,” katanya.

Sebaik sahaja pusat di Ipoh siap beroperasi, beliau berkata MTUC menganggarkan sekurang-kurangnya RM150 juta setahun terpaksa dibelanjakan oleh Perkeso untuk mengekal dan mengendalikannya.

Beliau berkata MTUC menggesa supaya pusat baharu di Ipoh dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan bagi menjaga kepentingan panyumbang Perkeso dan bagi Kementerian Kesihatan mengendalikan kedua-dua pusat itu sebagai penyedia perkhidmatan rawatan, pemulihan dan rundingan; semuanya di bawah kendalian pihak Kementerian.

-- BERNAMA




MR MR AZH



       Berita Utama Terdahulu