EKONOMI

UNIT SERBA DINAMIK AKAN LANCAR PLATFORM KANDUNGAN DI ASIA DAN AFRIKA

21/10/2019 05:22 PM

CYBERJAYA, 21 Okt -- Anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd, Serba Dinamik IT Solutions (SDIT), akan melancarkan platform perkongsian kandungan dalam talian berasaskan awan di Indonesia, India, Qatar dan beberapa negara Afrika pada tahun depan.

Ketua Pegawai Teknologi SDIT, Kalaikovan Antony berkata platform dalam talian dikenali sebagai Kelab Pertukaran Kandungan Global (Kelab GCE), menyediakan pengguna dengan akses tanpa terhad kepada koleksi kandungan yang luas, termasuk buku, jurnal, tesis, fail audio, multimedia, video, lukisan dan imej dalam gabungan pasaran ruang beli-belah.

"Melalui Kelab GCE, sesiapa sahaja dari seluruh dunia dapat menjual dan membeli kandungan akademik. Kami percaya bahawa kandungan bernilai harus diperolehi dengan mudah untuk mereka yang memerlukannya.

"Sehubungan itu, kami menyediakan penyumberan kandungan mudah, ringkas dan lancar. Kami menyasarkan sebanyak 50,000 pengguna GCE di seluruh dunia menjelang akhir tahun 2020, "katanya.

Kalaikovan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SDIT dan Geomatika University College Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini hari ini.

Beliau berkata di bawah MoU itu, para pelajar dan ahli akademik Geomatika boleh mencipta, melakukan pertukaran, mendigitalkan dan menjana wang menerusi penulisan mereka, tesis atau tugasan mereka di Kelab GCE dengan berkongsi kandungan dengan pasaran antarabangsa.

GCE juga menyediakan sudut pekerja bebas serta tempat bagi mereka yang mencari penterjemah dan pembaca pruf untuk tulisan mereka, tambahnya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan