Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 52m ago ]

Dr M kongsi pendekatan uruskan negara berbilang kaum

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi pendekatan beliau dalam mengurus sebuah negara berbilang kaum yang mengejutkan banyak pihak.

“Saya sentiasa menegaskan bahawa cara terbaik untuk memuaskan hati sebuah negara berbilang kaum adalah dengan memastikan tiada sesiapa pun berasa gembira.

“Apabila anda cuba mengembirakan sesebuah kumpulan ia cenderung untuk menjadikan pihak lain tidak gembira.

“Maka strategi terbaik adalah dengan memastikan yang tidak ada sesiapa pun berasa gembira, maknanya anda ambil sesuatu daripada setiap orang dan memberi semula sesuatu juga kepada setiap orang,” katanya.

Dr Mahathir menjawab soalan ketika sesi soal-jawab di Persidangan Praxis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) 2019 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memastikan yang rakyat berpuas hati dengan dasar (menguruskan masyarakat berbilang kaum) kerana Malaysia amat bergantung kepada kestabilan dan keamanan untuk terus maju.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini bertujuan menyemak semula kemajuan yang dialami Malaysia dalam tempoh hampir 30 tahun selepas Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada 1991 oleh Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu, bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Pada ketika itu, beliau bersama Barisan Nasional (BN). Dr Mahathir mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum, Mei 2018.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu