Papua New Guinea, Nigeria And Honduras To Become New Members Of Council Of Palm Oil Producing Countries | 
Polis tubuh pasukan siasatan khas untuk siasat kes kematian Teoh Beng Hock [ 5m ago ]

Jokowi angkat sumpah Presiden Indonesia bagi penggal kedua

Tarikh kemaskini: 20/10/2019
JAKARTA, 20 Okt -- Presiden Joko Widodo (Jokowi) hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua, pada majlis pelantikannya di bangunan Parlimen Indonesia, yang turut dihadiri pemimpin luar, termasuk Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Demi Allah, saya bersumpah akan memenuhi kewajiban Presiden Republik Indonesia dengan sebaik- baiknya dan seadil- adilnya, memegang teguh Undang-undang Dasar dan menjalankan segala undang-undang peraturannya dengan selurus-lurusnya serta berbakti kepada nusa dan bangsa," lafaz Jokowi semasa pelantikan itu pada jam 4.04 petang waktu Indonesia Barat (5.04 petang waktu Malaysia)

Tun Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, antara 17 pemimpin dan ketua negara yang hadir pada majlis pelantikan Jokowi dan naib presiden Indonesia, Ma'aruf Amin.

Selain Tun Dr Mahathir, antara pemimpin dan ketua negara yang hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Jokowi kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi penggal keduanya selepas memenangi pilihan raya Presiden 2019 pada 17 April lepas.

Jokowi bergandingan dengan Naib Presiden yang baharu, Ma'aruf Amin, 76, selepas pasangan itu menang pada Pilihan raya Presiden 2019, menewaskan pencabar mereka, pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Kehadiran Tun Dr Mahathir itu adalah manifestasi kepada kekukuhan hubungan akrab kedua-dua pemimpin dan negara, dan pelantikan Jokowi untuk penggal kedua ini, akan membawa lembaran baru dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia.

Keakraban hubungan dua hala terserlah menerusi keakraban dua pemimpin itu apabila Tun Dr Mahathir menjadikan Indonesia negara pertama Asean yang dilawatinya (pada Jun 2018) selepas memenangi pilihan raya umum 2018.

Manakala Jokowi menjadikan Malaysia negara pertama dilawatinya pada 8 Ogos lepas, selepas menang pilihan Presiden Indonesia 2019.



-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu