Papua New Guinea, Nigeria And Honduras To Become New Members Of Council Of Palm Oil Producing Countries | 
Tambahan satu jam sesi penggulungan untuk Ketua Pembangkang Perak ditarik balik [ 11m ago ]

Semua Ahli Lembaga Pengarah FICSB perlu ikut M&A - saksi

Tarikh kemaskini: 14/10/2019
KUALA LUMPUR, 14 Okt -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa semua Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) sepatutnya bertindak mengikut Memorandum dan Artikel (M&A) syarikat berkenaan.

Bekas Setiausaha Syarikat FICSB Cheong Choon Yin, 48, berkata ALP FICSB ialah bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad, Datuk Faizoull Ahmad, Datuk Dr Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Nik Azman Mohd Zain, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Mohd Zaid Abdul Jalil.

"Sebagai ALP FICSB, Tan Sri Isa mempunyai tanggungjawab ke atas FICSB," kata saksi pendakwaan kesembilan ketika membaca penyataan saksi pada hari keempat perbicaraan kes Mohd Isa yang menghadapi tuduhan pecah amanah dan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) berjumlah RM160 juta oleh FICSB di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sementara itu, saksi ke-10, juga bekas Setiausaha Syarikat FICSB, Shahniza Anom Elias, 51, berkata tugas Setiausaha Syarikat FICSB adalah memberikan Perkhidmatan Kesetiausahaan Korporat antaranya menyediakan dokumentasi bagi tujuan pendaftaran syarikat yang baharu ditubuhkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia atas arahan pengurusan FICSB.

"Tugas Setiausaha Syarikat FICSB juga memfailkan laporan kewangan tahunan syarikat setelah diluluskan oleh Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham Syarikat, mengeluarkan Notis Panggilan Mesyuarat Lembaga Pengarah serta mencatat Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah," katanya yang menggalas jawatan itu mulai 30 Mac 2015 hingga 20 Okt 2017.

Pada 7 Okt lepas, bekas Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan FICSB, Siti Salwani Mohd Salleh, 41, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa bertindak melangkaui mandat pelaburan ditetapkan Felda dalam pembelian hotel tersebut oleh FICSB iaitu anak syarikat Felda.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, 62, pula berkata Mohd Isa tidak meminta kelulusan pembelian MPHS di Kuching, Sarawak dalam Mesyuarat ALP Felda.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung esok.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu