Sekurangnya empat mati bila bangunan runtuh di Phuket [ 3h ago ]

Tetapkan had siling pinjaman, elak komitmen tinggi kerajaan - Ketua Audit Negara

Tarikh kemaskini: 14/10/2019
KUALA LUMPUR, 14 Okt -- Kerajaan perlu menetapkan had siling jaminan bagi pinjaman yang dibuat oleh badan berkanun dan syarikat untuk mengelak komitmen kerajaan semakin bertambah sekiranya badan berkanun atau syarikat menghadapi kesukaran dalam memenuhi obligasi.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, syor berkenaan perlu diberi perhatian susulan laporan audit mendapati pinjaman dibuat lima syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak boleh membayar sepenuhnya pinjaman yang sepatutnya dijelaskan.

Lima syarikat tersebut ialah K.L International Airport Berhad, CoVco Holding Berhad, Asset Global Network Sdn Bhd, Jambatan Kedua Sdn Bhd dan Danainfra Nasional Berhad.

“Pada 2018, kelima-lima syarikat tersebut tidak boleh membayar sepenuhnya pinjaman yang sepatut dibayar, berikutan itu pihak kerajaan persekutuan telah membayar balik sebahagian pinjaman dijamin dan matang bagi pihak syarikat sebanyak RM2.839 billion.

“Daripada jumlah itu, RM1.753 billion dibayar pentadbiran terdahulu manakala sejumlah RM1.086 billion dibayar oleh pentadbiran semasa,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen sempena Laporan Ketua Audit Negara 2018, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Dr Noraini Ahmad.

Justeru, Nik Azman berkata, satu dasar perlu ditetapkan merangkumi had siling jaminan kerajaan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan keupayaan kewangan syarikat serta daya maju projek yang akan dibiayai oleh syarikat.

Berikutan ketidakpastian keupayaan kelima-lima syarikat tersebut untuk membayar balik pinjaman yang dijamin, beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan sijil audit iaitu Pendapat Tanpa Teguran Dengan Emphasis of Matter (perkara yang perlu diberi perhatian) kepada kerajaan susulan perkara itu.
Nik Azman Nik Abdul Majid

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu