Peruntukan RM111.47 juta untuk kemajuan sukan, pembangunan belia di Sabah [ 25m ago ]

Peruntukan RM60 juta untuk sediakan vaksin pneumococcal berita gembira - Dzulkefly

Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR 11 Okt -- Peruntukan sebanyak RM60 juta sebagai permulaan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak merupakan berita ‘paling membahagiakan’ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata selain memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan, peruntukan tersebut akan ‘melegakan’pakar-pakar perubatan terutamanya pakar dan persatuan pediatrik di negara ini.

“Peruntukan ini juga akan membantu KKM mempergiatkan program, peralatan dan kakitangan di klinik pos Orang Asli bagi mengekang penyakit berjangkit dari terus berlaku seperti yang terjadi di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan tidak lama dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guang Eng hari ini, kerajaan memperuntukkan RM30.6 bilion kepada KKM dengan RM60 juta sebagai permulaan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak.

Tambah beliau, keputusan kerajaan mengabungkan tander dan perolehan ubat bernilai RM500 juta antara KKM, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan adalah satu intervensi yang baik untuk mengurangkan harga ubatan di ketiga kementerian tersebut.

‘Ia kaedah terbaik terutama dengan keadaan ekonomi sekarang, kita dapat berunding mengurangkan harga ubatan. Ia dapat melibatkan semua fasiliti, bukan saja hospital tetapi ketiga-tiga kementerian dapat kebaikan dari perolehan ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata peruntukan RM30.6 bilion adalah tertinggi yang pernah diterima KKM sepanjang sejarah belanjawan negara.

"KKM akan menggunakan peruntukan berkenaan bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar, golongan miskin bandar dan orang asli

Ia juga akan membawa penjagaan kesihatan primer dari hospital kembali kepada komuniti, rumah pesakit dan individu khususnya kepada golongan B40, Orang Asli dan rakyat di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau juga menyifatkan peruntukan permulaan untuk vaksin pneumococcal sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan sekian lama manakala peluasan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) kepada individu berumur 40 tahun ke atas mulai tahun depan dapat dimanfaat sepenuhnya.

Kerajaan dalam Belanjawan 2020 mencadangkan PeKa B40 diperluas kepada individu yang berumur 40 tahun berbanding 50 tahun sebelum ini.

Setakat ini, 100,000 individu telah memperoleh manfaat daripada inisiatif itu yang menyediakan pemeriksaan dan intervensi awal, bagi mengesan penyakit tidak berjangkit, seperti kesihatan mental dan kanser untuk mereka berusia antara 50 hingga 60 tahun.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Othman Warijo yakin peluasan PeKa B40 akan membolehkan lebih ramai masyarakat mengenalpasti masalah kesihatan mereka dari peringkat awal.

"Kita tahu golongan B40 memang agak rasa tersepit dengan keadaan ekonomi yang ada sekarang ini untuk dapatkan rawatan perubatan terbaik terutama sekali ada antara rawatan itu di luar skop yang telah disediakan kerajaan jadi dengan adanya PeKa B40 ini memudahkan mereka mendapat rawatan terbaik,” katanya.

Beliau turut memuji cadangan untuk memperuntukkan RM59 juta bagi menambah bilangan ambulan melalui kerjasama dengan perkhidmatan ambulan badan bukan kerajaan bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dan tauma lebih responsif.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu