Tungku ke arah menjadi daerah penuh [ 6m ago ]

Manfaatkan kekuatan Islam untuk runtuhkan fahaman perkauman sempit

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
SHAH ALAM, 10 Okt -- Umat Islam negara ini perlu ke hadapan dalam memecahkan benteng perkauman bagi membina sebuah negara yang adil dah saksama.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam perlu sedar bahawa kekuatan sebenar Islam itu adalah keupayaannya memecahkan tembok perkauman yang sempit dan menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dan agama.

"Islam melenyapkan prinsip perkauman yang sempit dan menekankan prinsip kemanusiaan," katanya ketika menyampaikan pidato di Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menangkis tanggapan bahawa orang Islam tidak boleh melantik bukan Islam sebagai pemimpin atau berkawan rapat.

Menyorot sejarah penghijrahan Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah, Anwar berkata semasa penghijrahan itu terdapat seorang yang bukan beragama Islam turut membantu Nabi Muhammad dalam penghijrahan berkenaan.

"Jika Islam melarang orang Islam rapat dengan bukan Islam bagaimana Rasulullah boleh menerima bantuan seorang yang bukan Islam dalam antara peristiwa terbesar umat Islam itu sehingga ia diangkat menjadi tarikh permulaan tahun Islam," katanya.

Di seminar berkenaan juga, Anwar turut menepis tanggapan bahawa beliau seorang yang bersikap liberal dan tidak mempunyai jiwa Melayu.

Katanya, beliau adalah seorang berjiwa Melayu tetapi memegang prinsip untuk membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Saya tidak liberal, saya Melayu cuma saya bantu setiap anak-anak yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu