Tungku ke arah menjadi daerah penuh [ 2m ago ]

SMK Zon R1 Wangsa Maju johan pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala MAIWP

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Sekolah Menengah Kebangsaan Zon R1 Wangsa Maju (SMK Zon R1 Wangsa Maju) muncul johan setelah menewaskan Sekolah Menengah Agama - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP) dalam pertemuan pusingan akhir pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala MAIWP.

Pelajar Tingkatan 1, Emran Emir Mohd Shahnaz, dari pasukan johan yang turut memenangi pembahas terbaik pertandingan, berkata beliau memasuki aktiviti berbahas setahun lalu dan mengasah bakatnya dengan panduan guru serta kawan-kawan sepasukannya.

“Saya amat bersyukur atas kemenangan ini dan berterima kasih kepada cikgu, sekolah, ibu dan bapa serta semua yang menyokong dan menolong saya untuk menjadikan pasukan kami johan.

“Saya tidak sangka menerima anugerah pembahas terbaik kerana saya rasa saya banyak kekurangan. Saya berterima kasih kepada rakan pasukan saya,” katanya ketika ditemui selepas program itu di sini, hari ini.

Johan pertandingan menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi manakala naib johan menerima RM3,000 dan tempat ketiga mendapat RM1,000, serta hadiah sagu hati pada semua pasukan dan pembahas terbaik menerima RM500.

Buat julung kali, MAIWP mengadakan pertandingan peringkat Wilayah Pesekutuan yang melibatkan penyertaan sekolah-sekolah menengah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata pertandingan itu diadakan mengambil gagasan ‘rahmatan lil alamin’ sebagai tema pertandingan dan peserta mengulas setiap tajuk yang diberikan dalam konteks gagasan itu.

“Pemilihan tema adalah satu usaha MAIWP dalam menamakan kefahaman tentang gagasan ini dari usia muda lagi, dan ingin mereka menjadi duta-duta kecil Rahmah dalam konteks kelompok mereka,” katanya.

“Kita membuka penyertaan kepada semua pelajar bukan sahaja kepada yang beragama Islam, untuk turut sama membahaskan tema Rahmatan Lil Alamin kerana gagasan ini bukan eksklusif kepada umat Islam tetapi untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Gagasan ‘rahmatan lil alamin’ adalah satu pendekatan kerajaan ke arah mewujudkan sebuah negara ‘rahmah’ yang diperkenalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada tahun ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu