SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 4h ago ]

Amarjit dinasihat terus bertugas sebagai Pengarah JANS

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KOTA KINABALU, 10 Okt -- Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS) Datuk Amarjit Singh meneruskan tugas dan tanggungjawab menggalas jawatan itu hari ini selepas mendapat nasihat daripada Kabinet Negeri Sabah dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Amarjit berkata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony turut mengarahkan beliau untuk pergi bekerja.

"Saya dinasihatkan oleh Kabinet Negeri semalam untuk meneruskan kerja. Ketua Menteri juga ada menghubungi saya semalam dan beliau kata pergi bekerja. Saya kata Ok. Menteri juga kata pergi kerja," katanya ketika ditanya pemberita berhubung statusnya sebagai pengarah jabatan itu di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan pelantikan Amarjit sebagai Pengarah JANS tidak sah kerana bertentangan dengan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air 2003.

Keputusan itu dibuat Hakim Ravinthiran R Paramaguru, berhubung kes difailkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Progresif Sabah pada 19 Mac lepas bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Amarjit pada Ogos tahun lepas tidak mengikut undang-undang.

Teck Lee dan seorang ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung ketika memfailkan kes itu menyatakan bahawa pelantikan berkenaan bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Seksyen 3 dalam enakmen itu menyatakan bahawa pelantikan jawatan kanan mestilah dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah JANS oleh kerajaan baharu Sabah diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) Amarjit bukan seorang anggota perkhidmatan awam.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu