SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 4h ago ]

Kerajaan pertimbang guna teknologi AR/VR dalam sesi pembelajaran TVET

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
SHAH ALAM, 10 Okt -- Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengguna pakai teknologi Virtual and Augmented Reality (VR/AR) dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada masa depan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata ini kerana menerusi penggunaan teknologi berkenaan, kerajaan dapat menyediakan pelajar TVET dengan lebih baik bagi menghadapi ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) selain ia mampu mengurangkan kos.

“Ini adalah (teknologi) masa depan. Jika kita tidak menyesuaikan diri dengannya, kita akan ketinggalan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri seminar VR/AR dalam TVET dianjurkan Azimuth Holovis United Kingdom (UK), di sini hari ini.

Turut berangkat ke seminar itu adalah Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Pengarah Azimuth Holovis UK, Datuk Seri Suresh E Abishegam.

Sementara itu, Suresh ketika ditemui pemberita berkata sesi pengajaran dan pembelajaran di institusi TVET dilihat perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan kemajuan teknologi yang digunakan oleh pihak industri.

“Sektor aeroangkasa, automotif serta industri minyak dan gas telah lama menggunakan teknologi AR/VR dalam industri mereka. Sekiranya negara mahu melahirkan tenaga mahir dalam bidang-bidang berkenaan, pelajar-pelajar TVET perlu diberi pendedahan dan ilmu terlebih dahulu mengenai tatacara untuk menggunakan teknologi ini,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu