Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 57m ago ]

APM Kedah sedia gerak aset hadapi Monsun Timur Laut

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
ALOR SETAR, 10 Okt -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah sudah bersedia dengan kekuatan aset di darat dan air bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku bila-bila masa.

Pengarahnya, Lt Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, aset darat membabitkan 15 buah lori, 12 ambulans dan 13 kenderaan pacuan empat roda, manakala 85 bot pelbagai jenis sudah siap sedia untuk beroperasi sekiranya berlaku banjir.

Beliau berkata APM yang bertindak sebagai sebahagian daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah turut mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi lain bagi menyelaras operasi.

“APM juga mempunyai seramai 1,019 orang anggota yang boleh digerakkan sepanjang 24 jam. Tumpuan terarah kepada daerah Kota Setar, Kuala Muda, Langkawi, Kulim dan Baling kerana dijangka akan menerima taburan hujan 350mm-500mm pada bulan ini dan 250mm-450mm pada bulan depan.

“Sebelum ini kita juga telah melakukan latihan simulasi, taklimat, mesyuarat, melengkapkan profil bencana dan kemas kini direktori sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Awang Askandar berkata, pihaknya sentiasa memantau ramalan kaji cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia dan akan menyalurkan maklumat secepat mungkin kepada penduduk jika sesuatu tindakan perlu dilakukan.

“Nasihat saya supaya penduduk sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa dan peka dengan maklumat yang disampaikan dan jangan terpengaruh dengan maklumat media sosial yang tidak sahih hingga menimbulkan keadaan panik,” katanya.

Sementara itu, Awang Askandar berkata pihaknya juga telah membuka pusat pengumpulan barangan keperluan semasa banjir di setiap daerah bagi membantu mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya antara barangan yang diperlukan ialah beras, lampin pakai buang, susu bayi, sardin serta selimut.

“Kita menggalakkan individu, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan dapat menyumbang...mereka boleh berhubung dengan pegawai bertugas atau terus ke pejabat APM daerah untuk berbuat demikian,” katanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu