Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 1h ago ]

Korea Selatan bakal bina 3 bandar berkuasa hidrogen menjelang 2022

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
SEOUL, 10 Okt -- Korea Selatan akan membina tiga bandar berkuasa hidrogen dalam usaha mempromosi tenaga hidrogen di negara ekonomi keempat terbesar di Asia itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pengangkutan pada Khamis.

Projek tiga tahun yang diterajui Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan itu, kerajaan merancang untuk membina bandar-bandar perintis berkuasa hidrogen menjelang 2022, menurut kenyataan bersama kementerian dan agensi berkaitan.

"Kami merancang untuk memilih tiga bandar pada akhir tahun ini selepas memperoleh kelulusan bagi pembinaan bandar tersebut daripada penduduk tempatan. Beberapa faedah dan insentif akan diberikan kepada penduduk bandar yang terpilih sebagai pertukaran bagi pembinaan bandar berkuasa hidrogen (yang masih dianggap tidak stabil dari segi keselamatan)," kata Park Joon-ho, seorang pegawai yang bertanggungjawab bagi projek bandar hidrogen di kementerian itu, melalui telefon.

Infrastruktur berkaitan seperti sel bahan bakar 9.9 megawatt, sejumlah 670 kenderaan penumpang elektrik sel bahan api hidrogen dan 30 bas hidrogen, boleh didapati di bandar-bandar yang dirancang itu, menurut kenyataan tersebut.

Kerajaan bercadang untuk mentransformasi 10 peratus daripada bandar, daerah dan pekan di negara itu kepada kawasan yang menggunakan tenaga hidrogen menjelang 2030 serta 30 peratus daripadanya kepada berkuasa hidrogen menjelang 2040 "dalam usaha memperoleh bahagian yang besar dalam pasaran hidrogen dunia yang semakin berkembang," katanya.

Pasaran berkaitan hidrogen dunia dijangka berkembang pada kadar purata 6 peratus setahun kepada $2.5 trilion pada 2050 berbanding $129 bilion pada 2017, menurut kementerian itu memetik laporan McKinsey & Co. yang diterbitkan pada Januari 2017.

Pasaran hidrogen Korea dijangka mencecah 70 trilion won menjelang 2050, menurut hala tuju hidrogen kerajaan yang dikeluarkan pada Januari tahun ini.

Pada 17 Jan, Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga menggariskan matlamat jangka panjang hidrogen membabitkan satu komuniti yang menggunakan hidrogen sebagai sumber utama tenaga bagi penjanaan kuasa, kenderaan dan kegunaan lain seperti satu ekosistem yang akan menjadi enjin pertumbuhan baharu bagi ekonomi Korea.

Setakat ini, Seoul telah memfokus kepada mempromosi kereta penumpang berkuasa hidrogen dan kenderaan komersial dalam perkongsian dengan Hyundai Motor Group serta syarikat lain yang berkaitan sambil meningkatkan jumlah stesen pengecasan hidrogen dan menawarkan subsidi kerajaan untuk pembelian kereta hidrogen.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu