Peruntukan RM111.47 juta untuk kemajuan sukan, pembangunan belia di Sabah [ 29m ago ]

Kisah perjuangan Tun M juara Pengisahan Kenegaraan Kebangsaan 2019

Tarikh kemaskini: 29/09/2019
KUALA NERUS, 29 Sept -- Kisah hidup dan aura luar biasa Tun Dr Mahathir Mohamad meresap ke jiwa lebih 2,500 penonton apabila perjalanan hidupnya dipentaskan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019.

Pementasan mengenai perjuangan dan perit jerih Perdana Menteri itu dalam membangunkan Malaysia turut berjaya memukau juri apabila wakil kumpulan dari Selangor dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini.

Tiga peserta kumpulan itu, Noorhisyam Razali, 40, Mohd Norhafifi Zolkiaply, 33, dan Muhamad Noriman Mustafa All Bakry, 30, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Naib johan disandang pasukan dari Pahang yang mengisahkan tentang perjuangan Bapa Kemerdekaan Negara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang membawa pulang RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga dimenangi peserta dari Johor mengisahkan pengorbanan tiga Leftenan yang terkorban menentang Jepun, dan mereka membawa pulang RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Peserta naib johan (Pahang) terdiri daripada Nur Farah Sahira Ahmad Tarmizi, Muhammad Aslam Mat Razani dan G. Ganenthiran manakala tempat ketiga (Johor) disertai Rosdi Abdullah, Afiq Rahimie Sazali serta Iskandar Naqiuddin Mohd Hisham.

Dua hadiah sagu hati bernilai RM2,000, piala iringan dan sijil penyertaan menjadi milik peserta dari Pulau Pinang dengan tajuk pengisahan Rosli Dhobi: Tika Fajar Menjemputmu dan peserta dari Negeri Sembilan dengan tajuk 'Pelita Yang Tak Pernah Padam' berkisarkan mengenai Pendeta Za'aba.

Wakil juara pertandingan itu, Noorhisyam berkata sebelum memulakan latihan pihaknya berkunjung ke Kedah untuk menemubual ahli keluarga Perdana Menteri bagi mendapatkan gambaran sebenar kehidupan Dr Mahathir sehingga berjaya menjadi tokoh dihormati di seluruh dunia.

"Kami berharap penonton naskhah ini akan memahami aspirasi Tun Dr Mahathir kerana beliau adalah seorang yang sangat luar biasa dan berjaya melakar nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad (tengah) menyampaikan hadiah kepada Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Penerangan Roselindawati Abdul Rahman (kanan).

"Semoga sedikit sumbangan naskhah kami ini dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi agar jasa Tun Mahathir tetap dikenang oleh rakyat Malaysia kerana beliau berjaya membawa negara kita ke satu tahap yang sangat membanggakan," katanya kepada pemberita.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad. Turut hadir, Ketua Pengarah Penerangan Roselindawati Abdul Rahman.

Pertandingan pengisahan kenegaraan yang bermula sejak 2003 itu adalah aktiviti komunikasi bersemuka berkonsepkan seni lakon dan penceritaan yang bermatlamat membentuk minda masyarakat bersatu padu, patriotik, bestari dan cintakan negara.

Terdahulu, Suriani dalam ucapannya berkata kerajaan telah menekankan empat elemen penting iaitu perpaduan, semangat cintakan negara, integriti tinggi dan kemakmuran bersama untuk membina negara bangsa yang maju jaya, berpendapatan tinggi dan hidup dalam aman harmoni.

"Dalam membicarakan tentang pembangunan negara, kita seharusnya meletakkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap pengorbanan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan masa lalu. Melalui pengorbanan mereka, kita dapat mewarisi sebuah negara yang boleh kita diami secara bebas dan merdeka.

"Kini, kita perlu bersama-sama merangka, melaksana dan memberi sokongan padu atas segala inisiatif diusahakan oleh kerajaan semasa bagi mencapai pembangunan negara yang mampan dan dinamik agar matlamat tersebut dicapai," katanya.

Beliau berkata antara inisiatif terkini dilaksanakan KKMM bersama jabatan dan agensi di bawahnya ialah dengan melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta peralihan siaran televisyen daripada sistem analog ke sistem digital.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu