Bapa durjana dikenakan hukuman penjara 202 tahun, 23 sebatan [ 4m ago ]

Malaysia raih anugerah emas pada ICQCC 2019

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, 26 Sept -- Malaysia terus cemerlang di persada dunia apabila mengungguli Konvensyen Antarabangsa Mengenai Jaringan Kawalan Kualiti (ICQCC) 2019 selepas 36 kumpulan Team Excellence (TE) meraih Anugerah Emas pada acara itu yang berlangsung di Tokyo, Jepun berakhir hari ini.

Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam kenyataan di sini, kesemua TE mewakili negara pada acara tahunan bermula 23 Sept lepas itu merekodkan kos penjimatan RM63 juta hasil daripada projek inovasi mereka selepas bersaing dengan 352 kumpulan daripada 15 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Korea dan United Kingdom.

Antara kumpulan Malaysia berjaya meraih pingat emas dan merekodkan kos penjimatan tertinggi adalah ONE-QFP daripada STMicroelectronics Sdn Bhd dengan penjimatan RM6.9 juta melalui projek ‘To Reduce Damaged Frame at Wire Bond and Plasma Process’ serta Queen Bees daripada KPJ Ipoh Specialist Hospital dengan penjimatan RM331,980 bagi projek ‘Advanced Appointment and Live Queuing System’.

ICQCC anjuran Kesatuan Saintis dan Jurutera Jepun (JUSE) itu bertujuan berkongsi amalan terbaik pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, inovasi, penyampaian perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.

Timbalan Ketua Pengarah MPC Ab Rahim Yusoff berkata selain bertujuan mengukuhkan budaya kreativiti dan inovasi dalam sesebuah organisasi, peserta akan mendapat lebih banyak idea inovatif untuk penjimatan kos melalui perkongsian kumpulan antarabangsa.

“Perkongsian idea ini sekali gus dapat menjadi penanda aras kepada kumpulan lain bagi membolehkan lebih banyak organisasi menjadi semakin cekap dan produktif,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu