Naib Presiden Tribunal Pilihan Raya Bolivia letak jawatan susulan kontroversi pengiraan undi [ 23m ago ]

Tun M terima Anugerah Khas Kelestarian Canselor USM

Tarikh kemaskini: 22/09/2019

GEORGE TOWN, 22 Sept -- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima Anugerah Khas Kelestarian Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada Upacara Konvokesyen Komemoratif universiti itu di sini, esok.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata Upacara Konvokesyen Komemoratif adalah satu upacara istimewa diadakan pada tahun ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 universiti itu.

“Tuanku Canselor, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Upacara Konvokesyen Komemoratif pada 23 Sept bermula 10 pagi.

Konvokesyen Komemoratif ini akan menyaksikan USM memberikan penganugerahan kepada Perdana Menteri, seorang negarawan ulung tanah air, Dr Mahathir. Sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat global, menjadi titik tolak kepada USM menganugerahkan beliau dengan Anugerah Khas Kelestarian Canselor,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak dapat menghadiri upacara konvokesyen itu sebaliknya bakal menerima anugerah itu dalam satu upacara khas yang akan diadakan di Istana Arau dalam masa terdekat, kata Asma.

Dalam pada itu Asma berkata, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan untuk menganugerahkan beberapa tokoh terkemuka yang diiktiraf oleh USM semasa Upacara Konvokesyen Komemoratif itu.

Selain Dr Mahathir, tokoh sukan negara Datuk Nicol Ann David bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan. Selain itu, Pemegang Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 2014, Profesor Shuji Nakamura akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains manakala mantan Pendaftar Wanita Pertama USM Datuk Siti Mazenah Saad akan menerima Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan berangkat mempengerusikan sidang pertama sehingga sidang keempat Upacara Konvokesyen ke-57 USM pada 24 dan 25 Sept ini.

Pada tahun ini, 6,338 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk tiga penerima Ijazah Kehormat, empat Profesor Emiratus, 508 Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,564 Ijazah Sarjana, 4,266 Ijazah Sarjana Muda, dan 45 orang Diploma Kejururawatan.

Upacara konvokesyen USM bermula pada 23 sehingga 29 Sept ini.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu