Majistret direman disyaki terima rasuah [ 28m ago ]

Operasi pembenihan awan di Sarawak selama dua hari bermula esok

Tarikh kemaskini: 19/09/2019
KUCHING, 19 Sept -- Operasi pembenihan awan di Sarawak akan dilakukan selama dua hari, bermula esok dengan pesawat Charlie 130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Cawangan Sarawak, Siniarovina Urban Sinyaw berkata awal pagi esok bancuhan air garam akan dilarutkan ke dalam tangki khas sebelum proses pembenihan awan menggunakan kaedah semburan dilaksanakan pesawat berkenaan.

"Pesawat ini akan berlepas dari Pangkalan TUDM Kuching ke lokasi di mana terdapat kesesuaian awan untuk operasi pembenihan awan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata halangan utama kepada proses berkenaan ialah untuk mencari awan bersesuaian.

"Justeru, sebelum operasi pembenihan dilakukan, pihak Met akan menjalankan analisis data pencerapan seperti radar, satelit dan juga model cuaca bagi menentukan keadaan cuaca semasa yang sesuai untuk operasi pembenihan awan," katanya.

Setakat pukul 8 malam tadi, lima kawasan di negeri ini masih mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dengan Kuching mencatat bacaan tertinggi pada 264, diikuti Sibu (245), Sarikei (240), Samarahan (221) dan Sri Aman (208).

Manakala tiga lagi mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Mukah, 193, Bintulu (140) dan Samalaju (128).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu