Vietnam, Mexico tingkat kerjasama sektor pertanian, makanan laut [ 7m ago ]

Rasuah : Ahli perniagaan Tan mengaku bersalah tuduhan subahat dengan Tengku Adnan

Tarikh kemaskini: 17/09/2019
KUALA LUMPUR, 17 Sept -- Ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan Tengku Mansor yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta, pada 2013.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan jam 2.15 petang ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Tan, 70.

Tan didakwa atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tan yang diwakili peguam Faisal Moideen membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan itu semasa pengurusan kesnya har? ini

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan memberitahu pemberita bahawa Tan membuat pengakuan itu selepas satu persetujuan mengenai pelupusan kes antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui proses rundingan akuan.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi menetapkan dua hari bermula 19 Sept ini bagi perbicaraan kes rasuah Tan, dan Tengku Adnan, 69. Kedua-dua kes itu (Tan dan Tengku Adnan akan dibicarakan bersama).

Pada 15 Nov 2018, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Pada 15 Nov 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tan dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu